Sejauh Manakah Senario Ketidakpatuhan
menjejaskan Integriti Dan Akauntabiliti Guru?
Apabila menyentuh berkaitan dengan
aspek ketidakpatuhan ini, tentu sekali kita akan menyentuh berkaitan dengan
etika keguruan khasnya dan etika amnya. Mengapakah etika begitu penting dalam
dunia pendidikan dan pengurusan pendidikan? Guru telah diberi tanggungjawab
yang besar untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab mendidik anak bangsa
Negara yang pada suatu hari nanti akan menjadi tunjang kepada pembangunan
Negara. Penekanan terhadap nilai dan etika perkhidmatan awam yang paling sesuai
ialah dengan memastikan bahawa penjawat awam seperti guru memahami konsep
tanggungjawab dan turut menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab (Mohd Tap
et al,1999). Profesionalisme guru pada hari ini
agak tergugat dengan pelbagai pendedahan dari pihak media massa tentang
kelemahan sistem pendidikan dan secara tidak langsung mengugat ketokohan seseorang
guru di mata masyarakat Negara ini. Oleh itu, integriti dan akauntabiliti
seseorang guru kini dipersoalkan oleh masyarakat Malaysia yang sentiasa
meletakkan isu berkaitan dengan guru sebagai isu umum utama yang seringkali
menjadi bualan hangat di tempat kerja dan ketika berbual dengan rakan di luar
waktu kerja. Apabila guru mula dipersoalkan kemampuannya, adakah kita masih
boleh dianggap profesioanal?
Integriti dan akauntabiliti guru
merupakan kualiti unggul dan kebertanggungjawaban yang perlu dipikul oleh guru
untuk meningkatkan martabat professional perguruan di mata masyarakat
sekeliling. Jika dilihat pada Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dikeluarkan
pada tahun 2004 oleh Institut Integriti Malaysia, Integriti turut merujuk
kepada etika dan nilai-nilai etika. Oleh itu, adalah menjadi akauntabiliti
seseorang penjawat awam untuk meletakkan kualiti diri yang unggul sepanjang
masa bagi menjaga nama baik profesion perguruan. Perlakuan yang tidak beretika
sebenarnya berpunca daripada diri sendiri dan untuk mengatasi masalah tersebut,
seseorang guru hendaklah berani untuk berubah dan meletakkan kepentingan
perkhidmatan awam dan profesion perguruan melebihi kepentingan peribadi.
Kerajaan telah menekankan amalan
etika yang baik dan integriti dalam Perkhidmatan Awam. Antaranya ialah Dasar
Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran (1983), Pendekatan Islam Hadhari
(2002), Rancangan Malaysia Kesembilan RMK9 (2006-2010), Kempen Nilai-nilai
Murni dan Budi Bahasa (2008), Pelan Integriti Nasional (PIN) (2008), Penubuhan
Institut Integriti Malaysia, Ikrar Aku Janji, Ikrar Integriti Perkhidmatan
Awam, Wawasan 2020, Ikrar Perkhidmatan Awam, Ikrar Kualiti, Piagam Pelanggan
Perkhidmatan Awam dan lain-lain lagi. Ternyata Kerajaan amat komited untuk
meningkatkan integriti dan akauntabiliti guru namun persoalan yang akan timbul
ialah sejauh mana diri guru itu sendiri mahu berubah dan memikul integriti
serta akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.
Senario ketidakpatuhan terhadap
Surat Pekeliling merupakan contoh mudah tindakan guru yang boleh mengakibatkan
integriti dan akauntabiliti profesion perguruan dipertikaikan oleh masyarakat
setempat. Guru dilarang merokok di sekolah kerana sekolah merupakan kawasan
larangan merokok namun masih terdapat segelintir guru yang tidak mengendahkan
larangan ini. Ini menunjukkan bahawa guru-guru seperti ini tidak memiliki
integriti seperti yang dituntut dalam Pelan Integriti Nasional (PIN). Oleh itu,
guru seharusnya berusaha untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang
boleh mendatangkan nama yang tidak baik terhadap profesion perguruan. Perkara
ini turut terkandung dalam Kod Etika Profesion Keguruan perkara (J) iaitu guru
tidak seharusnya bertindak sedemikian rupa yang boleh menjatuhkan darjat
profesion perguruan.
Kesimpulannya, ketidakpatuhan guru
terhadap arahan yang dikeluarkan melalui Surat Pekeliling akan menjejaskan
akauntabiliti dan integriti guru dalam tempoh masa yang panjang dan kepercayaan
masyarakat akan turut berkurangan terhadap guru. oleh itu, komuniti guru harus
sentiasa berusaha untuk menjaga prestasi dan nama baik profesion perguruan
serta dalam masa yang sama, sentiasa berusaha untuk meningkatkan integriti,
akauntabiliti, produktiviti dan kualiti perkhidmatan yang diberikan untuk
memacu pembangunan dunia pendidikan Negara.
Cadangan
Dan Ciri Kepimpinan Guru Yang Bersesuaian
Guru merupakan “public-figure” yang
sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan sentiasa sahaja isu yang berkaitan
dengan guru dibincangkan dengan hangat di kedai-kedai kopi dan pejabat jabatan
lain. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa menjaga perlakuan mereka terutamanya apabila
berhadapan dengan masyarakat kerana guru akan sentiasa menjadi buah mulut
masyarakat yang selama ini meletakkan tugas untuk mendidik anak bangsa di bahu
guru-guru. Untuk menjadi guru yang baik, guru memerlukan ciri-ciri kepimpinan
yang bersesuaian untuk memimpin bukan sahaja murid tetapi untuk memimpin diri
sendiri.
Secara asasnya, guru boleh memimpin
diri sendiri untuk melakukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Sebagai
contoh, mematuhi kod etika profesion keguruan yang sudah digunapakai sejak sekian
lama sebagai panduan untuk menjaga tahap profesionalisme perguruan. Dengan ini,
guru akan mampu menjadi pemimpin untuk diri sendiri di samping dapat menjadi
panduan dan pimpinan untuk rakan sejawat lain di sekolah. Guru yang mampu untuk
memimpin rakan-rakan guru yang lain boleh dikenali sebagai guru pemimpin di
sekolah. Guru pemimpin juga dikehendaki di masa lain bagi memotivasikan rakan-rakan
sejawat supaya membuat pembelajaran inovatif serta melaksanakan tugas dengan
cara yang lebih baik dan berkesan (Busher & Harris, 2000; Day, et al,
2007).
Jika menyentuh kepada gaya
kepimpinan yang dikehendaki untuk membentuk guru-guru di sekolah, antara gaya
kepimpinan sering digunakan adalah autokratik, demokratik, laissezfaire,
birokratik dan karismatik (Owen,1970). Gaya kepimpinan ini merupakan yang biasa
digunakan oleh guru besar dan guru-guru dalam mentadbir sesuatu organisasi
seperti sekolah, kelab akademik, persatuan dan kelab permainan. Oleh itu,
gaya-gaya kepimpinan ini merupakan cara guru mentadbir dan mengurus di sekolah
untuk melancarkan perjalanan pengurusan di sekolah. Sesetengah guru selesa
untuk menggunakan cara demokratik bersama pelajar manakala ada juga guru yang
lebih selesa bersifat autokratik untuk mengelakkan banyak kerenah semasa pengurusan.
Namun, ciri-ciri kepimpinan merupakan perkara yang berlainan daripada gaya
kepimpinan namun masih tergolong dalam kategori yang sama.
Ciri-ciri kepimpinan guru seperti
yang dikatakan oleh Al-Farabi dan Ibnu Khaldun ialah berpengetahuan luas, berkeyakinan,
rajin berusaha dan beberapa lagi ciri-ciri lain yang boleh digunakan oleh guru
untuk mencorak dan mengolah kepimpinan mereka. Antara ciri-ciri lain kepimpinan
yang boleh dicontohi oleh guru ialah ;
i. - Suka bekerjasama
ii. - Peramah
iii. - Penyabar
iv. - Berpendirian
v. - Rendah hati
vi. - Ikhlas dan jujur
vii. - Bertimbang rasa dan
viii. - Tidak membezakan antara pelajar
Daripada perspektif Islam
sebagaimana yang ditulis oleh Imam Al-Ghazali dan Prof. Dr Hamka, seorang guru
haruslah mempunyai kepimpinan yang telus serta tidak mengharapkan balasan atas
apa yang dilakukan. Antara ciri-ciri kepimpinan guru yang diperkatakan oleh
kedua-dua tokoh ini ialah ;
i. - Bertaqwa kepada Allah
ii. - Memiliki ilmu jiwa walaupun sedikit
iii. - Suka mengeratkan hubungan silaturahim dengan
orang lain
iv. - Berani atas kebenaran
v. - Berfikir dengan rasional dan bukannya
menggunakan emosi dan
vi. - Boleh menerima nasihat dengan hati yang
terbuka
Disini, sudah jelas bahawa guru
sentiasa memiliki panduan untuk memilih ciri kepimpinan yang berkenan di hati
untuk dijadikan panduan dan semoga dengan adanya ciri-ciri kepimpinan yang
dipelopori oleh tokoh-tokoh di atas, guru mampu untuk memimpin dengan baik di
sekolah.
Guru novice seharusnya memiliki
ciri-ciri kepimpinan seperti yang dinyatakan di atas sebagai panduan untuk
menempuh cabaran dunia pendidikan yang pastinya akan semakin mencabar pada masa
akan datang. Untuk mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam pelanggaran
etika dan ketidakpatuhan terhadap pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia, guru novice seharusnya memahami ciri-ciri kepimpinan yang
bersesuaian daripada yang dinyatakan di atas sebagai panduan untuk menjadi
seorang guru yang benar-benar memiliki naluri seorang guru. Dengan ciri
kepimpinan yang betul, guru novice akan dapat mengelakkan diri daripada terpengaruh
dengan rakan sejawat yang tidak beretika dan cuba untuk menghasut guru novice
agar tidak terlalu komited dengan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan.
Guru novice harus mengambil langkah yang betul untuk mengelakkan masalah
perlanggaran etika berlaku kepada dirinya dalam usaha untuk mengangkat martabat
profesion perguruan ke tahap yang lebih tinggi daripada yang ada sekarang.
No comments:
Post a Comment