Tuesday, 11 September 2012

Tugasan EDU 3108 part i


PENDAHULUAN

            Pendidikan merupakan salah satu tunjang utama dalam pembangunan dan kestabilan di negara kita. Pendidikan merupakan pemangkin dan komponen penting untuk memacu pembangunan negara kita bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Oleh itu, mutu pendidikan yang bermutu tinggi dan mampu menghasilkan golongan cendiakawan yang berkualiti hendaklah diberikan penekanan kerana mutu pendidikan secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara yang dinamik, mampan dan menyeluruh. Mutu pendidikan yang cemerlang banyak bergantung kepada produktiviti para pendidik mencorak arus mutu pendidikan semasa selari dengan cabaran dunia global yang memerlukan pendidikan melonjak ke satu tahap yang baru dan tidak hanya selesa berada di takuk yang lama sebagaimana yang ada sekarang.

            Dalam usaha untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan, para pendidik terutamanya para guru adalah orang yang bekerja untuk merealisasikan impian wawasan 2020 negara iaitu untuk menjadi negara yang maju dan setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Para guru perlu bekerja dengan lebih produktif, lebih cekap, lebih kreatif dan mempunyai akauntabiliti yang tinggi terhadap tugas mereka. Untuk mendapatkan prestasi kerja yang terbaik daripada guru, guru hendaklah boleh melakukan tugas-tugas mereka tanpa tekanan dan tanpa dibebankan tugas-tugas yang lain. Jika dianalogikan murid sebagai sehelai kain putih yang perlu dicorak, maka gurulah pen dan dakwat yang mencorak murid tersebut. Oleh itu, guru hendaklah meletakkan segala usaha untuk membentuk murid menjadi insan yang pada suatu hari nanti akan menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian negara kita. Tugas untuk membentuk murid yang sempurna daripada segenap aspek perlu diberi penekanan yang khusus oleh guru kerana tugas untuk menghasilkan generasi masa hadapan yang mampu meneraju pembangunan dan perkembangan negara adalah terletak sepenuhnya di bahu guru dan memerlukan integriti serta akauntabiliti yang tinggi.
            Untuk seseorang guru memiliki akauntabiliti dan integriti yang tinggi, guru memerlukan ciri kepimpinan yang baik untuk memimpin diri sendiri terlebih dahulu dalam usaha untuk menjadi seorang guru yang memiliki ciri-ciri unggul. Menurut Danielson (2006), kepimpinan guru bukan hanya terletak kepada kemahiran atau kepakaran mengajar semata-mata tetapi turut terletak pada kualiti peribadi yang unggul dalam diri serta dapat mempengaruhi orang lain untuk tujuan yang baik dan positif.

“The term teacher leadership refers to...skills demonstrated by teachers who continue to teach students but also have an influence that extends beyond their own classrooms to others within their own school and elsewhere” (Danielson, 2006)

            Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sentiasa mengedarkan Surat Pekeliling ikhtisas daripada semasa ke semasa sebagai garis panduan dan maklumat kepada warga pendidik melaksanakan tugas, memperjelaskan peraturan sedia ada berkaitan pengurusan kurikulum dan aspek profesional lain berhubung pengurusan pendidikan dan keguruan serta membantu pengurusan sekolah membuat keputusan. Surat pekeliling Ikhtisas ini adalah sebagai panduan umum kepada para guru untuk menjalankan tugas harian sebagai guru dan juga sebagai medium untuk guru meningkatkan integriti serta akauntabiliti dengan mematuhi kandungan surat pekeliling yang diedarkan daripada semasa ke semasa oleh pihak KPM. Sebarang perlanggaran terhadap surat pekeliling hanya akan membawa kepada kesan yang negatif dan pada masa yang sama akan meletakkan  integriti serta akauntabiliti seseorang guru dipersoalkan oleh masyarakat. Guru merupakan “public-figure” yang tindak-tanduknya sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan sebarang perlakuan guru yang tidak beretika akan memberi kesan negatif kepada profesion perguruan. Pada masa yang sama, ianya turut akan meninggalkan tanda tanya yang besar tentang kemampuan guru untuk menjalankan tugas di sekolah dalam membentuk generasi baru yang akan meneraju pembangunan negara pada masa akan datang apabila guru mencerminkan sikap yang tidak baik apabila berdepan dengan masyarakat sekeliling. 

No comments:

Post a Comment