Pengenalan
“Murid pecah gegendang telinga ditampar
guru”, begitulah tajuk berita akhbar Berita Harian bertarikh 26 Mei
2010 iaitu sepuluh hari selepas menyambut Hari Guru pada tahun tersebut. Apabila
berita ini menjadi tatapan masyarakat, pelbagai andaian, tomahan dan tuduhan
dilemparkan kepada guru tersebut khasnya dan komuniti guru amnya. Persoalan
yang biasanya akan dibincangkan di kedai-kedai kopi atau tempat-tempat rehat
adalah “kenapa guru tersebut melakukan sedemikian rupa?” dan “guru tersebut
gila atau sewel?”. Jarang sekali kita mendengar pandangan yang membela atau
mempertahankan guru tersebut. Guru tersebut umpama “digantung tidak bertali” oleh lapisan masyarakat yang cetek
pemikiran dan nipis ilmunya tanpa usul periksa dan tanpa mendengar luahan
daripada guru tersebut. Adakah guru tersebut benar-benar gagal mengawal
emosinya dan bertindak sedemikian tanpa ada sebarang nilai rasional dalam
dirinya? Ataupun guru tersebut bertindak sedemikian kerana provokasi yang
dilakukan oleh murid tersebut dan rakan-rakannya? Persoalan ini telahpun
dijawab oleh masyarakat yang saya percaya rata-rata akan menyalahkan guru
tersebut kerana tindakannya dan melupakan semua jasa guru tersebut mendidik
anak-anak muridnya sebelum ini.
Pendidikan merupakan salah satu
tunjang utama pembangunan dan kestabilan di negara kita. Pendidikan merupakan
pemangkin dan komponen penting untuk memacu pembangunan negara kita bagi
mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Oleh itu, mutu pendidikan
yang bermutu tinggi dan mampu menghasilkan golongan cendiakawan yang berkualiti
hendaklah diberikan penekanan kerana mutu pendidikan secara langsung dan tidak
langsung menyumbang kepada pembangunan negara yang dinamik, mampan dan
menyeluruh. Mutu pendidikan yang cemerlang banyak bergantung kepada
produktiviti para pendidik mencorak arus mutu pendidikan semasa selari dengan
cabaran dunia global yang memerlukan pendidikan melonjak ke satu tahap yang
baru dan tidak hanya selesa berada di takuk yang lama.
Dalam usaha untuk melonjakkan
kecemerlangan pendidikan, para pendidik terutamanya para guru adalah orang yang
bekerja untuk merealisasikan impian wawasan 2020 negara iaitu untuk menjadi
negara yang maju dan setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Para guru
perlu bekerja dengan lebih produktif, lebih cekap, lebih kreatif dan mempunyai
akauntabiliti yang tinggi terhadap tugas mereka. Untuk mendapatkan prestasi
kerja yang terbaik daripada guru, guru hendaklah boleh melakukan tugas-tugas
mereka tanpa tekanan dan tanpa dibebankan tugas-tugas yang lain. Lambakan
tugas-tugas lain seperti kerja perkeranian terhadap guru akan menganggu
prestasi kerja mereka dan menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi. Antara
lain, tugas guru juga termasuk membantu pelajar mendapat pencapaian akademik
yang baik dan membantu mereka
mempunyai nilai-nilai mumi. (Koch, et al. 1982 ). Guru juga diminta menanamkan
kebolehan berdikari kepada pelajar dalam usaha mereka memperolehi pengetahuan
(Lee, 1999).
Peningkatan ketidakhadiran kerja,
pusing ganti yang tinggi dan persaraan awal merupakan antara sebab mengapa
banyak kajian dijalankan di kalangan guru berkaitan dengan tekanan emosi, stres
dan “burnout”. Stres memberi kesan kepada masalah kesihatan mental dan fizikal
dan mempengaruhi keberkesanan hubungan guru dengan pelajar dan juga mutu
pendidikan (Weisberg & Sagie, 1999). Stres juga menyumbang kepada penurunan
tahap tenaga guru dan penglibatan tugas yang semakin berkurangan. (Lewis, 1999).
Stres yang keterlaluan dan tidak dapat dikawal akan menyebabkan “burnout” di
kalangan guru. Kesan Burnout adalah lebih memudaratkan daripada kesan stres seperti
kepuasan kerja yang berkurangan, hubungan guru-murid dan guru yang renggang,
motivasi guru yang berkurangan dan pengurangan keberkesanan guru dalam memenuhi
matlamat pendidikan.
“Stres memberi kesan kepada interaksi
guru dengan murid dimana ia boleh menyumbang kepada ketidakselesaan hubungan
dengan murid-murid sehingga menyebabkan guru bertindak secara tidak wajar
terutama apabila pelajar-pelajar menghasilkan kerja yang tidak baik dan tidak
bertingkahlaku dengan baik” (Nelson
et al 2001).
Stress Dan “Burnout”
Sistem
pendidikan yang pesat berubah dalam usaha untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan
keinginan untuk bersaing dengan negara-negara lain amat memberi kesan yang
besar kepada para guru. Guru berdepan dengan pelbagai cabaran semasa yang
memerlukan mereka untuk bekerja lebih produktif dan melakukan tugas dengan
lebih berkualiti. Cabaran yang tidak dapat ditangani oleh guru akan menyebabkan
stres dan menganggu kualiti kerja guru. Stres di kalangan guru merupakan satu
halangan kepada produktivi kerja yang baik dan memberi kesan kepada fizikal dan psikologikal guru (
Payne & Firth,1987). Stres akan menyebabkan pelbagai kesan yang negatif
seperti hilang fokus, cepat marah, hilang rasa ingin bekerja dan boleh
menyebabkan gangguan emosi. Stres juga dilihat sebagai punca kepada penurunan
kualiti kerja dan keinginan meninggalkan pekerjaan (Barling, 1990). Stres juga boleh memberi kesan kepada
kepuasan kerja dan keberkesanan ke atas produktiviti guru (Grififth &
Steptoe, 1999).
Perkataan
Stres mengundang pelbagai definisi dan pemahaman secara global. Ramai
cendiakawan dan pengkaji telah mengutarakan definisi dan pemahanan mereka
terhadap stres. Menurut Wangsa ( 2010), istilah stres berasal dari kata
“stringere “ yang mempunyai erti ketegangan dan tekanan. Hardjana (1994) pula
mendefinisikan stres sebagai suatu keadaan yang tercipta dalam proses transaksi
orang yang mengalami stres dan hal yang dianggap yang mendatangkan stres
sehingga membuat orang yang bersangkutan melihat ketidaksepadanan yang bersifat
nyata ataupun tidak nyata, antara keadaan dan sistem sumber daya biologi,
psikologi, dan sosial yang ada padanya.
Definisi
Konseptual terhadap stress yang dikemukakan oleh Sarafino (1994).
Istilah “burnout” menurut Freudenberger
(dalam Farber, 1991) dedifinisikan sebagai suatu bentuk kepenatan yang
disebabkan karena seseorang bekerja terlalu intensif, berdedikasi dan
berkomitmen, bekerja terlalu banyak dan terlalu lama serta melihat keperluan
dan keinginan mereka sebagai hal kedua. Srinika Jayaratne dan Himle (1991), Perlman
dan Hartman (1982) telah mengkaji semula semua literatur tentang “burnout”
antara tahun 1974 hingga 1980 dan mencadangkan satu pungutan suara yang
dipersetujui tentang definisi “burnout”. Mereka mendefinisikan “burnout”
sebagai respon kepada stress emosi yang kronik kepda tiga komponen utama iaitu;
a)
Ketandusan fizikal dan emosi
b)
Produktiviti kerja yang rendah
c)
Personalisasi yang berlebihan
"... a state of fatigue or
frustration brought about by devotion to a cause, way of life, or relationship
that failed to produce the expected reward." (Freudenberger, 1980).
Maslach
dan Pines pula telah mengkaji “burnout”
daripada perspektif psikologikal. Kajian mereka berjaya menghasikan satu
inventori yang dikenali sebagai Maslach
Burnout Inventory. Inventori ini
telah digunakan secara meluas untuk mentaksirkan tiga factor dalam mengukur
“burnout” terhadap individu. Faktor-faktor tersebut adalah daripada segi
keletihan emosi (emotional exhaustion), gangguan keperibadian kendiri
(depersonalization), dan pencapaian peribadi (personal accomplishment). Di
samping itu, Maslach dan pines percaya bahawa ciri-ciri kerja dalam sesebuah
organisasi adalah factor penentu utama kebarangkalian seseorang itu akan
mengalami “burnout”. (Gold &
Ruth, 1993).
Faktor-faktor
yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru.
Faktor
pertama yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah
persekitaran kerja dan kerenah pelajar. Persekitaran kerja yang kurang kondusif
dan ditambah lagi dengan kerenah pelajar yang bermacam ragam, guru terdedah
dengan tekanan akibat tugas yang perlu dilaksanakan. Kekurangan kemudahan di
sekolah juga akan memberi tekanan kepada guru apabila keperluan untuk mengajar
tidak mencukupi dan guru akan merasakan sesuatu yang tidak lengkap untuk
memberikan pengajaran yang maksimum kepada para murid. Greenberg dan Baron
(2000) menyifatkan tekanan di tempat kerja sebagai “stressor”. Tekanan di
tempat kerja yang tinggi boleh menyumbang kepada perletakan jawatan (Erkutlu
& Chafra, 2006). Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Jesus di Portugal
pada tahun 2000, antara sebab guru-guru di Portugal mahu meletak jawatan adalah
kerana persekitaran kerja yang tidak kondusif dan tidak memberi semangat untuk
bekerja. Apabila melihat konteksnya di Malaysia, adalah menjadi kerugian
andainya guru-guru berhenti berkhidmat kerana guru merupakan tunjang utama
kepada matlamat kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020. Selain daripada itu, guru
juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan perlakuan dan sikap segelintir
pelajar yang kadangkala menyakitkan hati. Masalah-masalah seperti ini
menyebabkan guru mengambil tindakan berasaskan emosi untuk menyelesaikan
masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar walaupun tindakan ini bertentangan
dengan etika dan tatatertib seorang pendidik, namun kadangkala emosi yang tidak
stabil boleh menguasai pemikiran yang waras.
Faktor
kedua yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah beban
tugas di sekolah. Bebanan tugas ini merujuk kepada tugas-tugas yang perlu
dibuat oleh guru seperti membuat persediakan mengajar, menyemak latihan pelajar,
tanggungjawab terhadap pelajar,urusan pentadbiran seperti mengisi borang dan
lain-lain tanggungjawab yang mesti dipikul oleh seseorang guru sepanjang berkerja.
“semua
jenis dan bentuk kerja merupakan sumber utama yang menyumbang kepada bebanan
tugas” (Cooper,1988).
Kerja
yang terlalu banyak dan tidak sesuai dengan seseorang guru akan menimbulkan
tekanan kepada guru terbabit. Kerja yang tidak sesuai dengan guru memerlukan
masa untuk mempelajarinya dan pada masa yang sama, banyak lagi tugas lain yang
menanti untuk disiapkan. Menurut Nelson dan Burke (2000), faktor-faktor peranan
seperti kekurangan kuasa, kabur dengan peranan dan tanggungjawab kerja yang
sebenar dan peranan di dalam konflik akan memberi tekanan di tempat kerja. Ini
akan menyebabkan kerja menjadi semakin banyak dan semakin membebankan. Walaupun seseorang individu mempunyai
kecekapan dan kecekalan yang tinggi dalam menjalankan tugasnya, beban kerja
yang melampaui batas kemampuannya akan menyebabkan prestasi kerjanya menurun
akibat kepenatan fizikal dan ini boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti
sakit jantung dan tinggi darah.
“Bebanan
tugas yang melampau dalam sesuatu bidang pekerjaan yang dihadapi oleh
pekerja-pekerja sesebuah organisasi mampu memberi kesan yang negatif bukan
sahaja terhadap pekerja yang terlibat tetapi juga kepada organisasi itu
sendiri” (Sanders, 1992).
Dalam
konteks sekolah, guru terbeban dengan keperluan untuk mengutamakan tugas utama
iaitu mengajar. Namun, guru juga terbeban dengan kehendak untuk menyiapkan
tugas-tugas lain mengikut masa yang ditetapkan dan bukan itu sahaja, guru juga
perlu memastikan komitmen terhadap keluarga dan komitmen terhadap aktiviti
sosial di luar tidak terjejas dengan keperluan memenuhi tuntutan tugasan di
sekolah. Jaafar Muhammad (2003), menyatakan kebanyakan individu bekerja selama
45 jam dalam masa seminggu dan masa selebihnya adalah untuk memenuhi tuntutan
terhadap keluarga dan masyarakat. Sekiranya seseorang guru tidak dapat
menangani tuntutan terhadap keluarga dan masyarakat, masalah itu akan dibawa
pula ke sekolah dan akan menganggu pula tugas-tugas wajib di sekolah.
Faktor
ketiga yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah punca
peribadi seperti kesihatan, masalah kewangan, aktiviti riadah, perhubungan dan
taraf hidup. Masalah kesihatan adalah antara masalah utama yang sering
menghantui golongan guru. Antara penyakit yang popular ialah darah tinggi,
sakit jantung, gout dan banyak lagi penyakit-penyakit lain. Guru yang mengalami
masalah kewangan dan dibebani hutang juga akan mengalami tekanan emosi yang
boleh menganggu prestasi kerja guru terbabit di sekolah. Menurut Gold Yvonne
dan A. Roth Robert (1993), gaji yang rendah membataskan pilihan guru melakukan
aktiviti riadah bersama keluarga. Sebagai contoh, niat mahu membawa keluarga
pergi bermain boling tetapi kerana kekangan kos, niat tersebut terpaksa
dibatalkan. Ini akan menyebabkan guru tersebut akan mengalami tekanan emosi
kerana ketidakstabilan emosi selepas tidak mampu untuk membawa keluarga
melakukan aktiviti riadah yang dikehendaki. Masalah-masalah yang berpunca
daripada peribadi guru ini akan menganggu prestasi kerja guru di sekolah
apabila mereka terlalu memikirkan tentang masalah peribadi dan tidak fokus
kepada tugasan hakiki di sekolah.
Faktor
keempat yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah masalah
disiplin murid di sekolah. Masalah disiplin pelajar di sekolah pada hari ini
semakin meruncing walaupun banyak usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah
untuk menangani masalah ini. Kurang kerjasama daripada ibu bapa merupakan
antara faktor kenapa masalah disiplin di sekolah semakin meruncing daripada
hari ke hari. Menurut Olivia (dipetik daripada Abdullah Sani, 2005), disiplin
bermaksud kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada pihak yang berkuasa
serta cara untuk menetapkan hukuman ataupun peraturan. Oleh itu, apabila murid
melakukan masalah disiplin, murid tersebut bukan sahaja tidak dapat mengawal
dirinya, malah tidak patuh kepada pihak yang berkuasa seperti guru dan pihak
sekolah. Apabila guru memasuki kelas yang bermasalah, guru akan cenderung untuk
sentiasa menganggap sikap dan perlakuan pelajar-pelajar sebegini teruk dan
secara tidak langsung telah menanggap pelajar-pelajar tersebut adalah golongan
yang tidak berdisiplin dan sering menimbulkan masalah di sekolah walaupun pada
dasarnya ianya adalah sesuatu yang benar.
Menurut
Nogueira (dipetik dari Jesus & Conboy, 2001), kebiasaannya guru akan
berfikir secara negatif apabila berhadapan dengan pelajar yang mempunyai
masalah disiplin. Apabila guru berhadapan dengan perkara yang sama setiap kali
sesi pengajaran bermula, maka mereka akan berasa tertekan dengan keadaan
tersebut. Ini menyebabkan guru mengambil langkah yang mudah untuk menyelesaikan
masalah tersebut dengan memarahi pelajar dan tidak masuk ke kelas yang
bermasalah untuk mengajar. Golongan pelajar yang sentiasa menimbulkan masalah
disiplin ini akan mendatangkan tekanan emosi kepada guru untuk berhadapan
dengan mereka dan ini adalah punca kenapa guru mengalami tekanan emosi yang
berpanjangan di sekolah.
Punca
kelima yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah tekanan
daripada pihak atasan. Menurut Ramaiah (1999), kepimpinan adalah satu fenomena
yang melibatkan suatu proses bagi manusia menggunakan kemahiran akal fikiran
dan potensinya yang melibatkan
keupayaan, kebolehan dan kebijaksanaan bagi seseorang untuk memerintah, mengarah,
mendorong ataupun untuk mempengaruhi. Ini bermakna, seseorang pemimpin
hendaklah menggunakan segala kebolehan yang ada padanya untuk memimpin dengan
cekap dan baik. Jika melihat kepada konteks di sekolah, pemimpin di sekolah
adalah guru besar ataupun pengetua dan sebagai pemimpin di sekolah, etika
kepimpinan yang betul adalah penting bagi mewujudkan kepimpinan melalui
teladan.
“etika
kepimpinan ini kepada penjagaan hubungan sesama manusia iaitu sentiasa berbaik
sangka dan mengelak dari berkonfrontasi sesama sendiri kerana ianya akan
membawa kepada perpecahan dalam sesuatu hubungan “(Noddings,1984).
kepimpinan
seseorang pemimpin tidak akan mempunyai apa-apa nilai sekiranya beliau tidak
menjaga hubungannya dengan pekerja-pekerja bawahan. Dalam erti kata lain,
pekerja-pekerja beliau tidak akan menghormatinya sebagai seorang pemimpin. Guru
besar atau pengetua hendaklah memiliki daya kepimpinan yang tinggi untuk
mencorak suasana sekolah yang kondusif dan hubungan antara guru juga dalam
keadaan yang baik serta mempunyai rasa kepunyaan yang tinggi terhadap sekolah. Apabila
pemimpin di sekolah tidak memimpin dengan baik dan tidak mentadbirurus dengan
sistematik, guru-guru adalah orang yang akan menjadi mangsa. Lambakan tugas
akan dipikul oleh guru dan ini akan menyebabkan guru mengalami tekanan emosi
serta stres. Menurut Carlopio et al.
(1997), perlakuan sesetengah pemimpin organisasi juga boleh mendorong kepada
tekanan di tempat kerja. Guru akan merasa lebih tertekan sekiranya terpaksa
berhadapan dengan pemimpin yang sombong dan mengamalkan birokrasi yang
berlebihan di sekolah. Ini akan menyebabkan guru-guru merasa tidak mendapat
sokongan daripada pemimpin sekolah apabila mahu melakukan sesuatu perkara. Perkara
ini juga akan menyebabkan guru-guru merasa tidak dihargai dan lama-kelamaan,
ini akan menimbulkan pemberontakan dan rasa tidak hormat terhadap pemimpin.
Komunikasi antara guru dengan pemimpin sekolah akan turut terjejas kerana sudah
wujud jurang yang besar dan perasaan yang tidak enak di kalangan mereka.
Tindakan
yang perlu diambil oleh bakal guru untuk mengelak tekanan emosi
Pengurusan tekanan emosi di kalangan bakal guru adalah
amat penting untuk menyiapkan diri untuk berdepan cabaran sebenar alam
pekerjaan sebagai seorang guru. Sebagai salah seorang bakal guru, saya sendiri
sedar bahawa tugas guru semakin mencabar dari sehari ke sehari sehinggakan
terdapat seorang guru meluahkan hasrat untuk menamatkan perkhidmatan kerana
beban tugas sebagai seorang guru yang semakin berat dan ditambah pula dengan
pelbagai program transformasi pendidikan yang nyata amat menambah beban tugas
guru di sekolah. Namun, mahu atau tidak mahu, langkah perlu diteruskan dan
untuk berada di sekolah sebagai seorang guru permulaan, langkah-langkah yang
betul perlu diambil untuk mengelakkan mengalami kejutan budaya dan tekanan
emosi di sekolah nanti. Apakah tindakan yang akan saya lakukan?
Pertama,
mempersiapkan diri dengan pengetahuan berkaitan stres dan cara menanganinya.
Antara perkara yang perlu diketahui ialah berkaitan dengan kajian yang
dijalankan oleh Christina Maslach pada tahun 1982. Antara perkara yang disentuh
dalam kajian tersebut ialah cara mengatasi tekanan dengan mengetahui
tanda-tanda awal dan cara menanganinya. Dengan mengetahui tanda-tanda awal,
saya akan mampu untuk bertindak dan mencegah tekanan emosi dengan menggunakan
teknik relaksasi progresif yang dipelopori oleh Edmund Jacobson (1926) dan
diperbaharui oleh Murphy (1996). Teknik ini adalah berasaskan pernafasan dan
mampu membantu untuk merehatkan badan dengan efektif. Bagi saya, dengan
menguasai teknik ini, saya akan mampu untuk melakukannya di mana-mana sahaja
apabila perlu bagi mengingatkan diri saya bahawa sentiasa ada jalan untuk
menyelesaikan sesuatu.
Kedua, saya
akan cuba untuk sentiasa berfikiran positif. Masalah yang kebiasaannya akan
timbul di golongan guru baharu ialah merasa terbeban dengan tugas yang
diberikan apabila tiba di sekolah. Dengan sentiasa berfikiran negatif, ianya
tidak akan membantu apa-apa sebaliknya hanya akan sentiasa memberikan tekanan
emosi apabila terpaksa menyiapkan sesuatu kerja. Berfikiran positif mengikut
pandangan Jesus dan Conboy (2001), akan membuatkan saya lebih redha menerima
apa sahaja tugas yang diberi dan pada masa yang sama, saya akan belajar sesuatu
daripada tugas yang diamanahkan kepada saya.
Ketiga dan
terakhir, saya akan mendapatkan sokongan sosial dengan melibatkan diri
dalam aktiviti sosial dan bagi saya, saya lebih selesa melibatkan diri dengan
aktiviti keagamaan di gereja. Kajian Kyriacou (1978) menunjukkan kepentingan
sokongan sosial dalam menangani tekanan di kalangan guru-guru. Melibatkan diri
dengan aktiviti sosial di gereja akan membuatkan saya melupakan seketika
masalah dan bebanan tugas di sekolah. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti
sosial yang berbentuk keagamaan akan mendekatkan saya dengan Tuhan dan akan
membantu saya mengawal tekanan emosi apabila berhadapan dengan tugas.
Kesimpulan
Sudah terbukti bahawa tekanan adalah sesuatu yang pasti
akan dihadapi oleh setiap individu normal di muka bumi ini. Sebagai seorang
guru, tekanan pastinya dirasakan di dalam dunia pendidikan yang sedang dan akan
terus mengalami perubahan daripada semasa ke semasa. Tekanan emosi kerana tugas
yang membebankan jika tidak diurus dengan baik akan menyumbang kepada stress
dan “burnout” yang mempunyai kesan yang buruk.
Faktor-faktor yang menyumbang kepada tekanan emosi ini
perlu dikenalpasti bagi memudahkan cara menguruskan tekanan tersebut.
Faktor-faktor seperti kepimpinan di sekolah dan masalah peribadi boleh
diselesaikan dengan cara dan medium yang betul tanpa perlu tindakan yang lebih
drastik dilakukan. Cara pengurusan tekanan emosi yang betul turut perlu diberikan
perhatian kerana apabila mempunyai ilmu pengetahuan dalam cara mengatasi
tekanan emosi, tekanan emosi yang dirasai dapat diurus dengan cara yang betul.
Persediaan awal dan kesedaran kendiri berkaitan dengan pengurusan tekanan emosi
akan membuatkan guru lebih bersedia dan tahu cara awal untuk mencegah tekanan
emosi dalam jangka masa panjang.
Keseluruhannya, tekanan emosi bukanlah sesuatu yang tidak
boleh diuruskan, sebaliknya ianya memerlukan cara yang betul untuk
menguruskannya. Tekanan emosi yang diurus dengan baik tidak akan menganggu
produktiviti kerja dan prestasi semasa sebaliknya hanya akan mengganggu
prestasi kerja dalam masa yang singkat sahaja kerana apabila sudah dicegah dan
diatasi, prestasi kerja bukan hanya akan meningkat tetapi kepuasan kendiri akan
turut meningkat.
Rujukan
/ Bibliografi
De Jesus, Saul Neves &
Conboy, Joseph (2001). A Stress Management Course to Prevent Teacher Distress.
International Journal of Educational Management, 15 (3).
Erkutlu, H.V. & Chafra,
J. (2006), Relationship Between Leadership Power Bases And Job Stress Of
Subordinates : Example From Boutique Hotels. Journal Management Research News,
29 (5), ms 4-5.
Gold, Y, Roth, R (1993),
Teachers Managing Stress and Preventing Burnout: The
Professional Health
Solution. Falmer Press, London.
Greenberg, J. & Baron,
A. (2000), Behaviour in Organizations.
Prentice Hall
International Edition: New
Jersey
Jaafar Muhammad, (2003),
Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur : Leeds Publications
Noddings, N. (1984), Caring:
A Feminine Approach to Ethics and Moral Education,
University of California
Press, Berkeley.
Kyriacou, C. (1987).
“Teacher Stress and Burnout : an International Educational
Research”. Educational
Research. 29 (2) : 146-152.
Maslach C. ( 1982 ). “Burnout : The Cost of Caring.”
Engelwood Cliffs.NJ :
Prentice-hall.
Pines, A & Aronson E. (
1988 ). Career Burnout : Causes and Cures, New York :
McMillan Inc.
No comments:
Post a Comment