Friday, 14 September 2012

Kebimbangan Dalam Sukan (anxiety)


KEBIMBANGAN (ANXIETY)

Menurut Wann (1997), kebimbangan ialah sesuatu yang negatif dan boleh mempengaruhi pencapaian atlit dalam sukan. Ia merujuk kepada tafsiran kognitif yang dibuat oleh individu terhadap apa yang terdapat di persekitarannya. Jika tafsiran tesebut menjurus kepada sesuatu yang mendatangkan kesan negatif, maka ia menghasilkan kebimbangan.

Apabila memperkatakan kebimbangan di kalangan atlit maka perlu dijelaskan mengenai kebimbangan tret dan kebimbangan seketika. Berdasarkan kepada Silva dan Stevens (2002) kebimbangan tret adalah merujuk kepada personaliti seseorang individu di mana ia bersifat stabil dan mereka sering mentafsirkan situasi persekitaran dengan perasaan risau atau bimbang yang boleh meningkatkan tahap kebangkitan (arousal). Ini menunjukkan kebanyakan masyarakat mempunyai tahap kebimbangan tret yang sederhana dan sedikit sahaja yang tinggi atau rendah tahap kebimbangan tret. Manakala kebimbangan seketika merujuk kepada tahap kebimbangan semasa yang terhasil dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitaran pada waktu itu (Shaharudin 2001).

JENIS-JENIS KEBIMBANGAN

1.         Kebimbangan Seketika (State Anxiety)
Kebimbangan seketika adalah tahap kebimbangan semasa yang terhasil atau berlaku dari persepsi individu terhadap bentuk tekanan yang terdapat di persekitarannya pada waktu itu seperti perasaan khuatir/bimbang, takut, tekanan dan kebangkitan fisiologikal.

2.         Kebimbangan Tret (Trait Anxiety)
Kebimbangan tret merujuk kepada ciri-ciri personaliti individu yang sering mentafsir situasi di persekitaran mereka sebagai menekan atau menggugat diri dan situasi ini akan meningkatkan lagi tahap kebimbangan mereka.

3.         Kebimbangan Kognitif ( Cognitive Anxiety)
Kebimbangan kognitif merupakan proses mental yang bersifat kognitif yang berlaku akibat dari tafsiran terhadap situasi semasa.Sebagai contoh ketakutan terhadap penilaian sosial, takut terhadap kegagalan dan kehilangan harga diri (self esteem).

4.         Kebimbangan Somatik (Somatic Anxiety)
Kebimbangan somatik pula merujuk kepada aspek fisiologikal dan afektif individu yang terbabit kesan dari kebimbangan kognitif yang wujud dalam diri individu tersebut. Sebagai contoh peningkatan kadar degupan jantung, pernafasan dan ketegangan otot-otot. Ini akan mengakibatkan individu hilang, rasa marah-marah, kurang yakin serta mendatangkan kesan kepada prestasi individu.


PUNCA-PUNCA KEBIMBANGAN

Selain mempersembahkan cabaran dan rangsangan, pada masa yang sama sukan juga membangkitkan ketidaktentuan. Pada saat seorang pemanah melepaskan anak panah daripada busurnya, seorang pemain bola sepak sedang menyepak bola pada kedudukan penalty dan seorang pemain badminton ingin melakukan pukulan deras (smash) pada kedudukan mata akhir, hasil daripada perlakuan tersebut belum diketahui. Tekanan dalam sukan adalah menjadi perkaitan yang tidak dielakkan berlakunya sifat ketidakpastian.

Tekan dan ketidakpastian boleh memotivasikan sebahagian atlit kita, sebaliknya akan meningkatkan kebimbangan pada yang lain. Terdapat beberapa beberapa faktor yang jelas meningkatkan tahap kebimbangan. Sebagai contoh, semakin penting sesuatu pertandingan, semakin tinggi tekan dan seseorang akan mudah menjadi bimbang.

Seorang individu yang berdarah gemuruh secara semula jadi mempunyai ciri-ciri mudah tertekan serta mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi. Justeru itu, segala tindak balas atau respons yang diambil terhadap situasi di persekitaran akan meningkatkan lagi kadar kebimbangan kerana tindakan mereka kini telah dipengaruhi oleh kebimbangan berasaskan situasi.

Menurut Endler (1978, 1983), terdapat lima faktor mengakibatkan tahap kebimbangan meningkat dalam suatu situasi yang teruja.
1.      Seseorang atlit akan menjadi takut menerima kekalahan daripada lawan yang lemah yang boleh mengugat ego atlit tersebut.
2.      Bimbang tentang penilaian yang negatif diterima daripada sosial atau ribuan penonton yang mengancam harga diri seseorang.
3.      Bimbang akan ancaman fizikal daripada pihak lawan. Contoh permain bola lisut, dimana seseorang pemukul akan berasa bimbang terkena balingan yang deras daripada pitcher yang boleh mencederakannya.
4.      Seseorang atlit berada dalam situasi kesamaran atau serba salah untuk memulakan perlawanan, persediaan atlit sama ada hendak mula atau tidak kekadang boleh menimbulkan tekanan dan kebimbangan.
5.      Seseorang atlit terganggu konsentrasi apabila diarah untuk menukar cara yang telah diamalkan dalam latihan kepada cara yang tidak pernah dilakukan dalam latihan semasa pertandingan.

MENGUKUR KEBIMBANGAN
Menurut Richard H. Cox (1998, 2007.6th ed) Anshell (1997) dan Wann (1997), cara yang paling popular untuk mengukur kebimbangan dengan menggunakan borang soal selidik. Cara ini mudah ditadbirkan kerana responden cuma perlu menjawab soalan yang berkaitan dalam inventori yang disediakan. Cara ini memungkinkan penyelidik mendapatkan bilangan responden yang ramai dalam kajiannya serta amat praktikal dari sudut psikologi sukan gunaan.

Di samping itu terdapat juga cara lain yang lebih berkesan untuk mendapatkan maklumat tentang tahap kebimbangan seseorang individu. Antara cara yang boleh digunakan adalah dengan pemerhatian terhadap perubahan tingkah laku serta perubahan fisiologikal individu. Pemerhatian yang teliti terhadap perubahan tingkah laku seperti perubahan corak pernafasan, tangan berpeluh, sering kali membasahkan bibir yang kering serta tanda-tanda keresahan yang lain boleh dikaitkan dengan perlakuan yang berkaitan dengan peningkatan tahap kebimbangan. Kaedah ini telah digunakan oleh Lowe (1973) dalam kajiannya ke atas pemukul dalam sukan besbol peringkat rendah.

Perubahan dari segi fisiologikal juga boleh diukur serta dikaitkan sebagai tanda-tanda kebimbangan. Peningkatan kadar nadi, perubahan tekanan darah serta tekanan pada otot merupakan tanda-tanda fisiologikal yang dikaitkan dengan kebimbangan. Kemampuan untuk mengukur kebimbangan dari sudut fisiologikal buat masa ini agak terhad kerana kesukaran menggunakan alatan untuk tujuan ini. Bagaimanapun dengan perkembangan pesat dalam dunia sains, penggunaan alat telemetri secara lebih meluas dalam masa yang terdekat ini akan memungkinkan kita menggunakan kaedah ini untuk mengukur kebimbangan.

Landers (1980) mengutarakan pandangan agar pengukuran dari sudut psikologikal dan fisiologikal digunakan untuk mengukur kebimbangan. Bagaimanapun menurut Karteroliotis dan Gill (1987) perkaitan antara aspek psikologikal dan fisiologikal dalam mengukur kebimbangan seketika adalah rendah. Justeru itu, ia bukanlah satu cara yang sesuai untuk mengukur kebimbangan seketika. Kemungkinan besar, pengu-kuran serentak aspek psikologikal dan fisiologikal untuk mengukur kebimbangan seketika akan memberikan maklumat yang bercanggah.

Gagasan Endler (1978) tentang lima faktor atau dimensi yang berkait rapat dengan kebimbangan menjelaskan tentang sifat multidimensi kebimbangan itu sendiri. Justeru itu, kebimbangan perlu dilihat dari dimensi yang pelbagai dan bukannya secara unidimensi. Kajian yang telah dilakukan oleh Fisher dan Zwart (1982) serta Gould, Horn dan Spreeman (1983) menyokong sifat multidimensi kebimbangan.

Mengukur Sifat Multidimensi Kebimbangan

Penerimaan konsep multidimensi kebimbangan telah melahirkan beberapa inventori (soal selidik) yang cuba untuk melihat dan mengukur kebimbangan dari sudut ini. Antara yang terkenal adalah Competitive State Anxiety Inventory-2 (CSAI-2) yang dihasilkan oleh Martens, Vealey dan Burton (1990). CSAI-2 mengukur kebimbangan kognitif seketika (cognitive state anxiety) dan kebimbangan somatik seketika (somatic state anxiety).

Dalam konteks sukan, kebimbangan sebenarnya wujud sebelum sesuatu pertandingan itu bermula. la dikenali sebagai kebimbangan pra pertandingan (Cox, 1998). CSAI-2 membantu kita menilai tahap ke-bimbangan atlit pada tahap prapertandingan ini. Hasilnya, kini kita memahami bahawa terdapat perubahan dari segi tahap kebimbangan para pemain sebelum serta beberapa ketika semasa sesuatu pertandingan bermula.

Berdasarkan kajian, kebimbangan kognitif prapertandingan lazimnya bermula tinggi dan berterusan tinggi sehingga beberapa minit sebelum pertandingan bermula. Kebimbangan somatik pula bermula rendah sehingga kira-kira 24 jam sebelum sesuatu pertandingan bermula (lihat Rajah 1). Pada tahap ini, kebimbangan somatik akan terus meningkat sehingga hampir pada waktu pertandingan. Bagaimanapun, selepas beberapa minit perlawanan berlangsung, kebimbangan somatik akan menurun manakala kebimbangan kognitif akan sentiasa turun naik, bergantung kepada kedudukan semasa sepanjang tempoh permainan.

Perbezaan Kesan Kebimbangan Somatik dan Kebimbangan Kognitif ke atas Prestasi

Bagi memudahkan kefahaman tentang perkaitan di antara kebimbangan seketika kompetitif dan kaitannya dengan prestasi, kita perlu melihat serta mengukur dimensi kebimbangan seketika individu. Contohnya, perkaitan di antara kebimbangan kognitif seketika dan prestasi sukan adalah dalam bentuk linear (Burton, 1988; Gould, Petlichkoff, Simons dan Vevera, 1987), manakala perkaitan di antara kebimbangan somatik seketika dan prestasi pula dalam bentuk U-Terbalik (Cox, 1998).

No comments:

Post a Comment