PSIKOLOGI SUKAN
PENGENALAN
Psikologi sukan merupakan satu pokok perbincangan
dan persoalan dalam sukan yang cukup menarik serta mendapat perhatian umum. Cox
(1998) merumuskan bahawa psikilogi sukan merupakan satu bidang yang luas dan
terbuka sehingga ia memudahkan orang awam dan peminat sukan memberi komen
berkaitan psikologi sukan. Psikologi sukan juga merupakan proses memilih dan
memotivasikan atlet supaya atlet tersebut boleh bersaing atas usaha dan
keupayaannya sendiri. Selain itu psikologi sukan juga menjurus kepada Psych-out
lawan, proses ini dapat mengurangkan atau menangani tekanan yang dihadapi oleh
atlet. Psikologi sukan juga juga dapat mencegah penggunaan dadah dikalangan
atlet serta membina strategi berpasukan dan menerapkan pembelajaran kemahiran
kepada atlet.
Contohnya, bila membingcangkan kemerosotan prestasi
seseorang atlet, telah menjadi kelaziman ramai yang mengandaikan kemerosotan
tersebut berlaku kerana faktor psikologi seperti kurang motivasi, sering hilang
tumpuan, darah gemuruh, dan kurang yakin. Tetapi, tidak ramai pengkritik yang
memberikan pendapat dan andaian yang melibatkan biomekanik, fisiologi mahupun
kemahiran pemain tersebut. Jesteru itu, ramai yang membuat kesimpulan bahawa
psikologi sukan merupakan satu perkara yang mudah serta boleh dipelajari dan
dipraktikkan dalam bidang sukan yang melibatkan ahli sukan serta penonton boleh
dijadikan sebagai asas untuk mendapatkan satu definisi yang lebih jelas lagi.
Psikologi sukan boleh ditakrifkan sebagai satu
bidang kajian saintifik yang melihat kesan serta pengaruh sesuatu aktiviti
terhadap perlakuan fizikal, efektif serta kognitif mereka yang terbabit secara
langsung mahupun tidak langsung dengan aktiviti tersebut. Menurut pakar
psikologi sukan, (Wann, 1997), bidang ini membabitkan bidang sukan dan
pergerakan. Antaranya Cox (1998) menjelaskan bahawa psikologi sukan merupakan
satu bidang sains atau prinsip-prinsip psikologi diaplikasi dalam bidang sukan.
Bagi Weinberg dan Gould (1999) pula meruskan bahawa psikologi sukan merupakan satu
bidang kajian saintifik tentang manusia dan perlakuan mereka dalam konteks
sukan dan pergerakan. Takrifan ini membuka skop yang lebih luas dalam bidang
psikologi sukan dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang berlaku
kepada atlet, pegawai serta penonton digelanggang atau padangpermainan serta
melibatkan mereka yang menyaksikan atau mengikuti perkembangan aktiviti
tersebut dari jauh.
Kajian dalam psikologi sukan juga membolehkan kita
:
- Menyatakan sesuatu tingkah laku
- Menerangkan tingkah laku tersebut
- Membuat andaian tentang tingkah laku tersebut.
Kondisi seseorang atlet diterangkan melalui
pendekatan psikologi bagi mendapatkan kaedah yang sesuai untuk menangani
masalah atlet. Ringkasnya, seseorang ahli psikologi sukan bukan sahaja berminat
untuk mengetahui apa yang berlaku digelanggang serta kesan langsung terhadap
atlet serta pegawai yang terbabit malahan kepada mereka terlibat secara tidak
langsung diluar gelanggang permainan.
SEJARAH PSIKOLOGI SUKAN
Untuk mendalami dan memahami bidang psikologi
sukan, kita harus mengetahui sejarah perkembangan bidang yang masih dianggap
baru ini. Menurut Williams dan Straub (1993), bidang psikologi sukan mula
muncul sebagai satu bidang kajian tersendiri sekitar 25 tahun yang lalu. Kita
boleh membandingkan bidang ini dengan bidang sukan yang lain seperti fisiologi,
pembelajaran motor dan lain-lain, bidang psikologi sukan merupakan bidang yang
masih baru. Bagaimanapun, menurut Robert McGowan apabila ditanya tentang
sejarah psikologi sukan oleh Wann (1997), psikologi sukan ini sama tuanya
dengan konsep sukan dan pertandingan itu sendiri.
Kenyataan McGowan itu merujuk kepada atlet pertama
yang bertanding dalam kejohanan olympik di Greece. Mereka mungkin memahami
kepentingan persediaan mental serta persiapan psikologi yang lain bagi
menghadapi kejohanan sukan yang terulung ini. Bagaimanapun, pada penghujung
abad ke-19, barulah perkaitan antara psikologi dan perlakuan atlet mendapat
perhatian para pengkaji. Kajian pertama dalam bidang psikologi sukan telah dilakukan
oleh Norman Triplett pada tahun 1898 (Davis, Huss dan Backer, 1995). Dalam
kajian tesis sarjana beliau, Triplett mendapati bahawa masa yang dicatatkan
oleh pelumba basikal yang berlumba secara individu adalah lebih perlahan
daripada masa yang dicatatkan oleh pelumba yang bersaing dengan pelumba yang
lain. Ini adalah kesan dari segi fasilitasi sosial.
Untuk memastikan kesahihan kesan fasilitasi sosial
ini, Triplett menjalankan kajian yang sama dalam makmal. Beliau meminta
kanak-kanak yang terlibat dalam kajian mengayuh basikal selaju yang boleh
secara bersendirianserta beramai-ramai. Hasilnya sama dengan apa yang beliau
dapati dengan pelumba basikal. Beliau merumuskan bahawa pelumba basikal yang
bersaing dengan pelumba basikal yang lainmencatatkan masa yang lebih pantas
daripada pelumba yang berkayuh secara sendirian disebabkan kesan dari
fasilitasi sosial.
Peringkat kedua dapat dilihat dalam sejarah
perkembangan bidang psikologi sukan ini adalah pembentukan makmal kajian sukan
pertama di Universiti of Illinois, Amerika Syarikat pada tahun 1925 oleh
Coleman Robert Griffith. Griffith sangat berminat mengkaji tentang fenomena
psikologi sukan sejak 1910, sehingga beliau diberikan gelaran sebagai Bapa
Psikologi Sukan Amerika Syarikat (Cox, 1998). Kajian yang dilaksanakan oleh
Griffith tertumpu kepada tiga bahagian utama iaitu motor, prestasi serta
personality. Hasil kajian serta idea yang popular tentang psikologi sukan
banyak terdapat dalam dua karya utama beliau iaitu The Psycholoogy of Coaching
dan The Psychology of Athletics. Penutupan makmal Griffith pada tahun 1932
membantutkan perkembangan psikologi sukan sehingga tahun 1950-an. Mulai dekad
tersebut, psikologi sukan mula membebaskan diri dari induknya iaitu bidang
pembelajaran motor serta bergerak kearah menjadi satu bidang pengkhususan yang
tersendiri (Landers, 1995)
Pada persidangan pertama Kongres Antarabangsa
Psikologi Sukan (1965) telah memperlihatkan kewujudan Persatuan Psikologi Sukan
Antarabangsa (International society of Sport Psychology) yang mana telah
menjadi pemangkin kepada penubuhan persatuan psikologi sukan yang lain. Pada
tahun 1967 juga lahirnya Persatuan Psikologi Sukan dan Aktiviti Fizikal Amerika
Utara yang mewakili pengkaji psikologi sukan. Persatuan Peningkatan Bidang
Psikologi Sukan Gunaan telah ditubuhkan pada tahun 1985 bagi memudahkan
pertukaran maklumat antara pengamal psikologi sukan (pendidik serta ahli
psikologi sukan klinikal). Bidang psikologi sukan juga diperkenalkan di negara
kita apabila ia mula didedahkan kepada pelajar yang mengikuti kursus dalam
bidang pendidikan jasmani di Universiti Putra Malaysia (Universiti Pertanian
Malaysia) pada awal 1980-an. Disamping itu, punubuhan Majlis Sukan Negara (MSN)
Juga adalah bertujuan untuk meningkatkan pencapaian negara dalam bidang sukan
telah menbantu mempopularkan bidang ini di Malaysia. MSN juga telah mewujudkan
Unit Psikologi Sukan serta menghantar pegawai MSN ke luar negara bagi mendalami
bidang ini untuk membantu persiapan atlet negara supaya menladi pemangkin
kepada perkembangan bidang ini di Malaysia.
TUGAS DAN PERANAN AHLI PSIKOLOGI SUKAN
Majlis Olimpik Amerika Syarikat (USOC) telah
menerbitkan satu artikel pada tahun 1983 yang mengandungi satu artikel yang
menggariskan peranan serta klasifikasi ahli psikologi sukan. Menurut USOC ahli
psikologi sukan boleh dibahagi kepada dua iaitu ahli psikologi sukan gunaan
(applied sport psychology) (Martens, 1987) dan penyelidik psikologi sukan
(experimentel sport psychologist) (singer, 1984). Terdapat dua kategori ahli
psikologi sukan yang ditentukan oleh USOC iaitu ahli psikologi sukan klinikal
dan pendidik psikologi sukan.
1. Ahli Psikologi Sukan Gunaan
(a) Ahli psikologi sukan klinikal
Kategori pertama ahli psikologi sukan gunaan adalah
ahli psikologi sukan klinikal. Mereka ini adalah golongan yang terlatih dalam
bidang psikologi klinikal yang mana berkelayakan menjadi seorang pakar
psikologi. Secara amnya, tugas ahli psikologi sukan klinikal ini adalah untuk
membantu atlet yang menghadapi masalah personaliti serta mental yang serius
seperti atlet yang mengalami masalah gangguan emosi yang teruk seperti
kemurungan, anoresia, panik, yang memerlukan rawatan dalam jangka masa yang
tertentu. Ahli psikologi sukan kjinikal yang berkelayakan perlulah mendaftar
sebagai ahli dalam persatuan psikologi yang diiktiraf dan mempunyai lesen untuk
menjalankan perkhidmatan bagi membantu atlet dalam menangani masalah mereka.
(b) Pendidikan psikologi sukan
Kebanyakan ahli psikologi sukan yang tergolong
dalam kumpulan ini lazimnya mendapat latihan dalam bidang pendidikan jasmani
dan sains sukan. Mereka berkemahiran serta mempunyai pengetahuan asas psikologi
sukan. Kebanyakannya bertugas sebagai tenaga pengajar di pusat pengajian tinggi
atau kolej yang terlibat dalam pengajaran kursus psikologi sukan, memberikan
ceramah, memberikan khidmat rundingcara terhadap atlet, membantu atlet membina
kemahiran psikologi (seperti imageri, strategi daya tahan, daya tindak),
menyedari potensi diri sertakursus kepada jurulatih yang bertindak sebagai
konsultan kepada pasukan dan atlet tertentu. Tugas mereka lebih kepada
“jurulatih mental” iaitu membantu individu yang terbabit dengan sukan tentang
cara untuk mengenali serta memaksimumkan potensi diri masing-masing. Selain
itu, mereka yang terlibat dalam psikologi sukan, kelayakan peringkat sarjana
dalam bidang psikologi sukan diutamakan kerana mereka perlu sentiasa peka
terhadap perubahan ilmu dan teknik terkini yang membabitkan latihan mental.
2. Penyelidik Psikologi Sukan
Mereka yang terlibat dalam sesuatu bidang akan
mempengaruhi perkembangan dan kemerosotan sesuatu cabang ilmu yang mana ia
bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan. Oleh itu, tugas seorang
penyelidik psikologi sukan amatlah penting demi memastikan bidang ini mampu
berdiri dengan sendirinya serta mendapat perhatian yang wajar di kalangan ahli
akademik dan mampu memberikan sumbangan kepada mereka yang terlibat (Anshel,
1997; Wann, 1997). Sumbangan ahli psikologi sukan gunaan banyak bergantung
kepada hasil kajian penyelidikan psikologi sukan. Kedua-duanya saling
bantu-membantu dalam menegakkan bidang ini. Lazimnya, kelayakan diperingkat
sarjana dan doktor falsafah diperlukan kedua-dua kelayakan ini bersifat
menyelidik serta mengkaji isu-isu seperti motivasi, konsentrasi, keagresifan
serta isu-isu lain yang berkaitan dengan psikologi sukan. Penyelidikan ini juga
mestilah menunjukkan bukti kesarjanaan bidang penyelidikan tentang aktiviti
yang dikaitkan dengan sukan dan latihan. Selain itu, mereka perlu menjalankan
kajian seterusnya menerbitkan hasil kajian serta mempersembahkan hasil dapatan
kajian dalam konferens profesional.
ETIKA DALAM PSIKOLOGI SUKAN
Sejak akhir-akhir ini, kerjaya sebagai ahli
psikologi sukan mahupun “jurulatih mental” ini semakin popular kerana ramai
orang telah melibatkan diri secara langsung dalam bidang ini untuk melatih
atlet ataupun pasukan tertentu di negara kita.bagi memastikan khidmat yang
diberikan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang memerlukan khidmat tersebut
maka etika psikologi perlu diwujudkan serta dipraktikkan oleh mereka yang
terlibat. Seterusnya topic perbincangan ini akan membantu kita mengenali
kemampuan, kemahiran serta bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada atlet
serta jurulatih yang memerlukan khidmat ahli psikologi sukan. Kebelakangan ini,
ramai orang telah memperkatakan bahawa teori-teori serta teknik-teknik
psikologi sukan telah menunjukkan keberkesanannya kerana ramai diantara mereka
yang bergiat dalam sukan mengakuinya kerana ia mampu membantu mereka
meningkatkan prestasi serta mencapai kejayaan dalam sesuatu pertandingan sukan
(Anshel, 1997; Cox, 1998; Wann, 1997). Pendedahankepada beberapa konsep, teori
serta teknik psikologi sukanyang dapat membantu anda meningkatkan mutu
persembahan dan pencapaian yang membanggakan.
Bagaimanapun dengan hanya menamatkan satu kursus
psikologi sukan ataupun menamatkan satu kursus di peringkat diploma, anda masih
belum boleh menganggap diri anda sebagai seorang ahli psikologi sukan serta
berkelayakan untuk memberikan khidmat nasihat kepada mereka yang memerlukan
kepakaran dalam bidang ini.walaupun di Malaysia masih belum wujud satu badan
akreditasi khusus untuk ahli psikologi sukan seperti mana bidang profesional
yang lain seperti kaunseling, doktor perubatan dan psikologi ia tidak bermakna
bahawa anda bebas menggelarkan diri anda sebagai seorang pakar psikologi sukan.
Perbuatan ini menyalahi etika profesion kerana ia tidak mempunyai kelayakan
minimum untuk melayakkan diri menjadi ahli psikologi sukan. Pakar psikologi
sukan bimbang tentang risiko yang mungkin timbul dari kesilapan penggunaan
teori serta teknik psikologi sukan sekiranya ia dipraktikkan oleh mereka yang
kurang mahir dalam bidang ini (Silva, 1989). Kesannya mungkin akan menyebabkan
ramai orang meragui peranan serta kepentingan dalam bidang ini dan proses
penyediaan atlet atau pasukan sukan.
Apa yang kita faham pada awal-awal tajuk ini, tugas
seorang ahli psikologi sukanboleh diklasifikasikan kepada dua tugas utama.
Pertamanya tugas yang bersifat memberikan tunjuk ajar (pendidikan) kepada atlet
serta jurulatih tentang cara melakukan teknik latihan mental dengan cara lebih
berkesan (Cox, 1998). Dalam konteks ini, guru atau jurulatih yang betul betul
terlatih dalam bidang ini yang boleh melaksanakan tugas ini (Smith, 1992).
Keduanya, tugas bersifat klinikal dimana seorang ahli psikologi sukan diminta
untuk memberikan bantuan yang bercorak klinikal seperti memberikan kaunseling,
psikoterapi serta membuat pemeriksaan psikologi dan mental atet terbabit. Oleh
itu, adalah penting bagi seseorang ahli psikologi sukan mempunyai kemahiran
serta pengetahuan yang berkaitan untuk melaksanakan tugas tersebut.
Untuk memudahkan kita mendalami lagi isu-isu yang
berkaitan dengan etika, satu garis panduan tentang kajian dan tugas klinikal
dalam bidang psikologi sukan yang digariskan oleh Persatuan Psikologi Sukan dan
Aktivit Fizikal Amerika Syarikat (North American Society for the Psychology of
Sport and Physical Activity). Garis panduan ini menjelaskan tentang tatacara
seorang ahli psikologi sukan (Wann, 1977) :
1. Bertanggungjawab
– Ahli psikologi sukan bertanggungjawab diatas segala perlakuan, nasihat serta
saranan yang diberikan dan bertanggungjawab keatas kesan dan akibat berkaitan
dengan saranan tersebut serta memastikan tindakan yang diambil itu bertepatan
dengan keadaan.
2.
Berkelayakan – Ahli psikologi sukan memberikan bantuan dan latihan
yang mana ia berkelayakan serta berpengalaman
melakukannya.
3.
Mematuhi moral dan etika – Ahli psikologi sukan tidak membabitkan diri
dengan kegiatan yang berlawanan dengan peraturan,
etika serta moral
yang ditetapkan.
4.
Kenyataan umum – Ahli psikologi sukan menyatakan kelayakan ikhtisas
serta penglibatan mereka dengan persatuan
profesional dengan jelas.
5.
Kerahsiaan – Ahli psikologi sukan menghormati serta menjaga rahsia atau
maklumat yang diberikan oleh klien atau subjek kajian mereka.
6.
Kebajikan klien – Ahli psikologi sukan menjaga kebajikan serta integriti
klien serta kumpulan yang mendapatkan khidmat
mereka.
7.
Hubungan profesional – Ahli psikologi sukan mesti peka terhadap
keperluan serta pendapat rakan-rakan dalam bidang
lain yang berkaitan
dengan sukan.
8. Teknik
penilaian – Dalam usaha untuk membentuk, menerbit serta
menggunakan sesuatu alat atau teknik penilaian atau
pengukuran,
kebajikan klien perlu diutamakan.
9. Kajian
yang milibatkan manusia – Dalam melaksanakan kajian psik ologi kebajikan mereka
yang terbabit dengan kajian tersebut perlu diutamakan agar ia selaras dengan
peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa
diperingkat persekutuan, negeri serta badan profesional terbabit.
KESIMPULAN
Sebagaimana yang kita semua ketahui, untuk
mempelajari dan mendalami psikologi sukan ini seharusnya seseorang itu
mengetahui apa yang terkandung dan selok-belok yang mana melibatkan
strategi-strategi serta teori-teori yang sepatutnya dilaksanakan. Untuk
mengaplikasikan strategi serta teori ini, kita hendaklah mengetahui konsep dan
fokus utama yang terkandung dalam tajuk ini. Perkara ini penting kerana ia
mempengaruhi mutu pencapaian atlet. Walaupun bidang psikologi sukan ini masih
baru, mereka mempunyai sejarah dan latar belakang yang tersendiri yang
mengisahkan dan memperkenalkan psikologi sukan serta perkembangannya kepada
umum. Disamping itu, beberapa perkara haruslah dititikberatkan oleh seseorang
yang ingin menjadi ahli psikologi sukan termasuklah latar belakang pendidikan
yang merupakan syarat utama dalam profesion ini. Diantaranya termasuklah
beberapa jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh ahli psikologis sukan seperti
perkhidmatan klinikal, pendidikan dan penyelidikan. Selain itu, perkara yang
perlu diterapkan kepada ahli psikologi sukan adalah etika-etika dalam psikologi
sukan. Perkara ini penting bagi menjaga imej mereka yang terlibat dalam
profesion ini. Oleh itu, pelbagai aspek perlu diambil kira kerana aspek-aspek
tersebut akan mempengaruhi seseorang ahli psikologi sukan serta memberikan
kesan yang positif kearah usaha meningkatkan mutu persembahan dan pencapaian
atlet negara.
RUJUKAN
Anshel, M H. (2003). Sport Psychology: From theory to practice. USA: Pearson, Education,
Inc.
Shaharudin Abd. Aziz. (2001). Mengaplikasi teori psikologi dalam sukan. Kula Lumpur: Utusan Publications &
Distributors.
No comments:
Post a Comment