Tuesday 11 September 2012

Tugasan EDU 3108 part iv


Rumusan Dan Penutup
            Kod etika profesion keguruan merupakan satu panduan yang amat sesuai untuk guru-guru mengetahui amalan tingkah laku dan nilai kerja yang bersesuaian di sekolah. Kod etika ini mengandungi tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh guru-guru ketika berada di sekolah dan kod etika ini sesuai untuk menjadi rujukan para guru daripada semasa ke semasa. Kod etika ini diwujudkan untuk mengangkat martabat profesion perguruan dan guru merupakan penggerak kepada usaha menjulang martabat profesion perguruan di Malaysia. Tanggungjawab dan tugas yang dipikul oleh guru merupakan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat dan guru haruslah memastikan bahawa martabat profesion yang tertua di dunia ini tidak tercalar kerana gagal untuk menggalas tanggungjawab yang digariskan dalam kod etika ini.       
            Akauntabiliti dan integriti dalam dunia pendidikan memainkan peranan yang amat penting untuk menjulang nama profesion perguruan ke tahap yang lebih tinggi. Kemampuan guru untuk memahami serta menghayati prinsip akauntabiliti dan integriti, akan membolehkan guru tersebut  dapat memahami tanggungjawabnya yang sebenar sebagai seorang guru. Tahap profesional guru akan turut meningkat sejajar dengan keperluan guru untuk menghayati konsep akauntabiliti dan integriti kerana sebagai seorang guru, tanggungjawab yang dipikul adalah tanggungjawab terhadap murid, ibu bapa, sekolah, rakan sejawat dan profesion perguruan. Kegagalan guru untuk memahami dua konsep penting ini akan merugikan bidang pendidikan kerana pada dunia hari ini yang serba moden serta mencabar, guru perlu sentiasa memperkemaskan diri dengan cara kerja yang lebih efektif dan mampu bersaing untuk menaikkan nama profesion perguruan di persada yang lebih tinggi. Guru akan mampu untuk bekerja dengan lebih produktif sekiranya memahami dengan jelas tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai guru dan akan lebih bersedia untuk bertanggungjawab penuh terhadap amanah yang diberikan kepada guru. Guru yang mengabaikan aspek akauntabiliti dan integriti hanya akan menjatuhkan nama profesion perguruan dan membuatkan profesion perguruan dipandang negatif oleh masyarakat sekeliling. Oleh itu, guru harus bekerja dengan penuh akauntabiliti dan integriti pada setiap masa dan setiap ketika tanpa perlu terlalu berfikir tentang balasan dan ganjaran.
            Aspek ketidakpatuhan yang berlaku terhadap Surat Pekeliling di sekolah adalah sesuatu yang amat merisaukan kerana surat pekeliling merupakan medium untuk Kementerian Pelajaran Malaysia mengeluarkan arahan yang perlu dipatuhi oleh guru-guru di sekolah. Jika terdapat ramai guru yang tidak mematuhi apa yang terkandung di dalam surat pekeliling, ianya pasti akan mengundang persepsi negatif masyarakat sekeliling terhadap akauntabiliti dan integriti guru di sekolah. Meskipun guru hanya insan biasa yang turut melakukan silap dan salah, namun ianya bukan alasan untuk guru tidak berusaha untuk menuruti apa yang termaktub di dalam surat pekeliling yang diedarkan ke sekolah. Guru perlu sentiasa merujuk kepada kod etika dan memahami tugas yang perlu dijalankan di sekolah kerana pendidikan merupakan salah satu tunjang penting dalam mencapai hasrat untuk menjadi Negara maju menjelang tahun 2020. Terapkan integriti dalam tugasan harian dan nescaya, akan mendapat balasan di akhirat kelak.
            Ciri-ciri kepimpinan yang patut dimiliki oleh guru novice untuk terus berjuang di dalam dunia pendidikan merupakan satu isu yang menarik untuk diketengahkan dengan lebih terbuka kerana ciri kepimpinan yang sesuai dan bertepatan akan membentuk guru novis menjadi seorang guru yang berjiwa guru dengan sempurna dan semulajadi. Guru novice memerlukan ciri kepimpinan yang tepat sebagai panduan untuk terus membentuk peribadi diri bersesuaian dengan ciri-ciri guru yang cemerlang bagi menabur bakti kepada anak bangsa. Tanpa ciri kepimpinan yang tepat, guru novice akan hilang panduan serta mudah untuk terjerumus ke dalam “zon selesa” menjadi seorang guru yang hanya mengajar umpama “melepas batuk di tangga”.
            Kesimpulannya, dunia pendidikan masa kini penuh dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi oleh guru dalam usaha mengangkat martabat profesion perguruan ke tahap yang tertinggi. Oleh itu, dengan mengenggam erat konsep akauntabiliti dan integriti serta berpandukan kod etika profesion keguruan, usaha murni tersebut akan dapat dicapai berbekalkan azam dan tekad yang kuat untuk menjayakannya. Semoga pada masa akan datang, profesion perguruan akan melangkah setapak lagi untuk mendaki puncak kegemilangan yang diidamkan.



RUJUKAN / BIBLIOGRAFI

Jurnal Dalam Talian
1.    Danielson,C. (2006). Teacher Leadership That Strengthens Professional Practice. Alexandria,VA : Association for Supervision and Curriculum Development.

2.    Valli, L., & Buese, D. (2007). The changing roles of teachers in an era of high-stakes accountability. American Educational Research Journal, m.s 519


3.    Van Dick, R., & Wagner,U. (2001). Stress and strain in teaching: A structural
equation approach. British Journal of Educational Psychology, m.s 243

4.    Busher, H. & Harris, A. with Wise, C. (2000). Subject Leadership and School
Improvement. London: Paul Chapman Publishing Ltd.

5.    Owens, R.G. 1970. Organizational Behavior in Schools: New Jersey: Prentice Hall Inc.


Artikel Surat Khabar
1.    Norlaila Hamima Jamaluddin (1998) “Racun Rokok Jejas Kesuburan Perokok”. Harian Metro m.s. 5.



Buku Rujukan
1.    Dr. Ragbir Kaur a/p Joginder Singh, 2007 Panduan Ulangkaji Pendidikan Untuk KPLI Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur

2.    Mohd Tap Salleh et al, 1991 Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam, Institut Tadbiran Awar Negara (INTAN) Malaysia, KualaLumpur.

3.    Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010 Asas Kepimpinan & Perkembangan Profesional, Selangor Darul Ehsan, Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

4.    Sulaiman Mahbob, 2005 Etika dan Integriti di Malaysia : isu dan cabaran, Kuala Lumpur, Institut Integriti Malaysia.


Rujukan Asas
1.    Kod Etika Profesion Keguruan diakses di www.scribd.com pada 6 Ogos 2012.

2.    Buku Pelan Integriti Nasional, Institut Integriti Malaysia dikeluarkan pada tahun 2004.

3.    Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Yang ke-4.

No comments:

Post a Comment