Thursday 13 September 2012

Motivasi (Motivation)


Motivasi (Motivation)
Definisi
Motivasi didefinisikan sebagai proses kebangkitan dalam diri individu yang membantu usaha mengarah serta mengekalkan perlakuan yang diingini (Wann, 1997). Dalam konteks ini, arah merupakan tindakan individu sama ada untuk menghampiri atau menjauhi sesuatu situasi. Manakala usaha perlu merujuk kepada tahap kesungguhan individu itu ke arah menghampiri atau menjauhi situasi tersebut. Motivasi penting kerana dapat mempertingkatkan semangat dan inisiatif atlet untuk berjaya dalam bidang sukan. Penyertaan seseorang individu dalam sukan dipengaruhi oleh motivasi intrinsik (dalaman) dan motivasi ekstrinsik (luaran). Penyertaan dalam aktiviti disebabkan minat atau seronok melakukannya diklasifikasikan sebagai motivasi intrinsik. Sebaliknya jika penglibatan dalam aktiviti disebabkan keinginan diklasifikasikan sebagai motivasi ekstrinsik.

MOTIVASI
Sumber intrinsik
Melibatkan usaha dalaman diri atlet, memperbaiki pencapaian, berjuang, bersaing bagi mencapai kejayaan dan tidak dipengaruhi oleh ganjaran atau pengaruh luaran

Sumber Ekstrinsik
Berdasarkan faktor-faktor luaran seperti keinginan untuk mendapatkan ganjaran berbentuk kebendaan, pujipujian, penghormatan atau anugerah tertentu serta kebenaran dan galakan ibu bapa

Motivasi dan ganjaran
Ganjaran ekstrinsik dan intrinsik boleh mendatangkan kesan positif atau negative kepada atlet yang bertanding dalam sesuatu bidang sukan. Penyertaan atlet yang bermotifkan ganjaran ekstrinsik dan pada masa yang sama mendapat pengiktirafan terhadap kebolehan atlet akan meningkatkan motivasi intrinsik atlet tersebut. Sebaliknya, jika ganjaran ekstrinsik menjadi sasaran kepada penyertaan atau penglibatan atlet tadi, tetapi tidak menerima pengiktirafan terhadap kebolehannya maka ini akan melemahkan motivasi intrinsik atlet tersebut. Individu yang bermotivasi intrinsik mempunyai keazaman diri yang kental. Penyertaan dalam sesuatu pertandingan akan memberi kepuasan dan keseronokan pada dirinya. Disamping itu juga, ia dapat meningkatkan kemahiran, persaingan semulajadi dalam sukan serta sasaran pencapaian prestasi.

Kemahiran memotivasikan diri
Dalam sukan, penetapan matlamat adalah relevan dengan perubahan tingkah laku. Rangsangan tingkah laku perlu bersifat kognitif untuk dijadikan pendorong kepada lakuan yang perlu bagi mencapai matlamat. Jurulatih, atlet dan mereka yang terlibat dalam bidang sukan menggunakan teknik penetapan matlamat untuk meningkatkan kemahiran atau prestasi dalam aktiviti fizikal dan sukan. Dorothy dan Roscue (1995), mendapati bahawa matlamat akan merangsang dan meningkatkan usaha yang berterusan.


No comments:

Post a Comment