Tuesday 11 September 2012

Tugasan EDU 3108 part iii


Sejauh Manakah Senario Ketidakpatuhan menjejaskan Integriti Dan Akauntabiliti Guru?
            Apabila menyentuh berkaitan dengan aspek ketidakpatuhan ini, tentu sekali kita akan menyentuh berkaitan dengan etika keguruan khasnya dan etika amnya. Mengapakah etika begitu penting dalam dunia pendidikan dan pengurusan pendidikan? Guru telah diberi tanggungjawab yang besar untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab mendidik anak bangsa Negara yang pada suatu hari nanti akan menjadi tunjang kepada pembangunan Negara. Penekanan terhadap nilai dan etika perkhidmatan awam yang paling sesuai ialah dengan memastikan bahawa penjawat awam seperti guru memahami konsep tanggungjawab dan turut menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab (Mohd Tap et al,1999). Profesionalisme guru pada hari ini  agak tergugat dengan pelbagai pendedahan dari pihak media massa tentang kelemahan sistem pendidikan dan secara tidak langsung mengugat ketokohan seseorang guru di mata masyarakat Negara ini. Oleh itu, integriti dan akauntabiliti seseorang guru kini dipersoalkan oleh masyarakat Malaysia yang sentiasa meletakkan isu berkaitan dengan guru sebagai isu umum utama yang seringkali menjadi bualan hangat di tempat kerja dan ketika berbual dengan rakan di luar waktu kerja. Apabila guru mula dipersoalkan kemampuannya, adakah kita masih boleh dianggap profesioanal?
            Integriti dan akauntabiliti guru merupakan kualiti unggul dan kebertanggungjawaban yang perlu dipikul oleh guru untuk meningkatkan martabat professional perguruan di mata masyarakat sekeliling. Jika dilihat pada Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dikeluarkan pada tahun 2004 oleh Institut Integriti Malaysia, Integriti turut merujuk kepada etika dan nilai-nilai etika. Oleh itu, adalah menjadi akauntabiliti seseorang penjawat awam untuk meletakkan kualiti diri yang unggul sepanjang masa bagi menjaga nama baik profesion perguruan. Perlakuan yang tidak beretika sebenarnya berpunca daripada diri sendiri dan untuk mengatasi masalah tersebut, seseorang guru hendaklah berani untuk berubah dan meletakkan kepentingan perkhidmatan awam dan profesion perguruan melebihi kepentingan peribadi.

            Kerajaan telah menekankan amalan etika yang baik dan integriti dalam Perkhidmatan Awam. Antaranya ialah Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran (1983), Pendekatan Islam Hadhari (2002), Rancangan Malaysia Kesembilan RMK9 (2006-2010), Kempen Nilai-nilai Murni dan Budi Bahasa (2008), Pelan Integriti Nasional (PIN) (2008), Penubuhan Institut Integriti Malaysia, Ikrar Aku Janji, Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam, Wawasan 2020, Ikrar Perkhidmatan Awam, Ikrar Kualiti, Piagam Pelanggan Perkhidmatan Awam dan lain-lain lagi. Ternyata Kerajaan amat komited untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti guru namun persoalan yang akan timbul ialah sejauh mana diri guru itu sendiri mahu berubah dan memikul integriti serta akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.
            Senario ketidakpatuhan terhadap Surat Pekeliling merupakan contoh mudah tindakan guru yang boleh mengakibatkan integriti dan akauntabiliti profesion perguruan dipertikaikan oleh masyarakat setempat. Guru dilarang merokok di sekolah kerana sekolah merupakan kawasan larangan merokok namun masih terdapat segelintir guru yang tidak mengendahkan larangan ini. Ini menunjukkan bahawa guru-guru seperti ini tidak memiliki integriti seperti yang dituntut dalam Pelan Integriti Nasional (PIN). Oleh itu, guru seharusnya berusaha untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan nama yang tidak baik terhadap profesion perguruan. Perkara ini turut terkandung dalam Kod Etika Profesion Keguruan perkara (J) iaitu guru tidak seharusnya bertindak sedemikian rupa yang boleh menjatuhkan darjat profesion perguruan.
            Kesimpulannya, ketidakpatuhan guru terhadap arahan yang dikeluarkan melalui Surat Pekeliling akan menjejaskan akauntabiliti dan integriti guru dalam tempoh masa yang panjang dan kepercayaan masyarakat akan turut berkurangan terhadap guru. oleh itu, komuniti guru harus sentiasa berusaha untuk menjaga prestasi dan nama baik profesion perguruan serta dalam masa yang sama, sentiasa berusaha untuk meningkatkan integriti, akauntabiliti, produktiviti dan kualiti perkhidmatan yang diberikan untuk memacu pembangunan dunia pendidikan Negara.

Cadangan Dan Ciri Kepimpinan Guru Yang Bersesuaian
            Guru merupakan “public-figure” yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan sentiasa sahaja isu yang berkaitan dengan guru dibincangkan dengan hangat di kedai-kedai kopi dan pejabat jabatan lain. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa menjaga perlakuan mereka terutamanya apabila berhadapan dengan masyarakat kerana guru akan sentiasa menjadi buah mulut masyarakat yang selama ini meletakkan tugas untuk mendidik anak bangsa di bahu guru-guru. Untuk menjadi guru yang baik, guru memerlukan ciri-ciri kepimpinan yang bersesuaian untuk memimpin bukan sahaja murid tetapi untuk memimpin diri sendiri.
            Secara asasnya, guru boleh memimpin diri sendiri untuk melakukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Sebagai contoh, mematuhi kod etika profesion keguruan yang sudah digunapakai sejak sekian lama sebagai panduan untuk menjaga tahap profesionalisme perguruan. Dengan ini, guru akan mampu menjadi pemimpin untuk diri sendiri di samping dapat menjadi panduan dan pimpinan untuk rakan sejawat lain di sekolah. Guru yang mampu untuk memimpin rakan-rakan guru yang lain boleh dikenali sebagai guru pemimpin di sekolah. Guru pemimpin juga dikehendaki di masa lain bagi memotivasikan rakan-rakan sejawat supaya membuat pembelajaran inovatif serta melaksanakan tugas dengan cara yang lebih baik dan berkesan (Busher & Harris, 2000; Day, et al, 2007).
            Jika menyentuh kepada gaya kepimpinan yang dikehendaki untuk membentuk guru-guru di sekolah, antara gaya kepimpinan sering digunakan adalah autokratik, demokratik, laissez­faire, birokratik dan karismatik (Owen,1970). Gaya kepimpinan ini merupakan yang biasa digunakan oleh guru besar dan guru-guru dalam mentadbir sesuatu organisasi seperti sekolah, kelab akademik, persatuan dan kelab permainan. Oleh itu, gaya-gaya kepimpinan ini merupakan cara guru mentadbir dan mengurus di sekolah untuk melancarkan perjalanan pengurusan di sekolah. Sesetengah guru selesa untuk menggunakan cara demokratik bersama pelajar manakala ada juga guru yang lebih selesa bersifat autokratik untuk mengelakkan banyak kerenah semasa pengurusan. Namun, ciri-ciri kepimpinan merupakan perkara yang berlainan daripada gaya kepimpinan namun masih tergolong dalam kategori yang sama.
            Ciri-ciri kepimpinan guru seperti yang dikatakan oleh Al-Farabi dan Ibnu Khaldun ialah berpengetahuan luas, berkeyakinan, rajin berusaha dan beberapa lagi ciri-ciri lain yang boleh digunakan oleh guru untuk mencorak dan mengolah kepimpinan mereka. Antara ciri-ciri lain kepimpinan yang boleh dicontohi oleh guru ialah ;
      i.        - Suka bekerjasama
    ii.        - Peramah
   iii.       - Penyabar
   iv.        -  Berpendirian
    v.        - Rendah hati
   vi.        -  Ikhlas dan jujur
  vii.        -  Bertimbang rasa dan
viii.        -  Tidak membezakan antara pelajar

            Daripada perspektif Islam sebagaimana yang ditulis oleh Imam Al-Ghazali dan Prof. Dr Hamka, seorang guru haruslah mempunyai kepimpinan yang telus serta tidak mengharapkan balasan atas apa yang dilakukan. Antara ciri-ciri kepimpinan guru yang diperkatakan oleh kedua-dua tokoh ini ialah ;
      i.        - Bertaqwa kepada Allah
    ii.        - Memiliki ilmu jiwa walaupun sedikit
   iii.        - Suka mengeratkan hubungan silaturahim dengan orang lain
   iv.        - Berani atas kebenaran
    v.       -  Berfikir dengan rasional dan bukannya menggunakan emosi dan
   vi.        - Boleh menerima nasihat dengan hati yang terbuka

            Disini, sudah jelas bahawa guru sentiasa memiliki panduan untuk memilih ciri kepimpinan yang berkenan di hati untuk dijadikan panduan dan semoga dengan adanya ciri-ciri kepimpinan yang dipelopori oleh tokoh-tokoh di atas, guru mampu untuk memimpin dengan baik di sekolah.
            Guru novice seharusnya memiliki ciri-ciri kepimpinan seperti yang dinyatakan di atas sebagai panduan untuk menempuh cabaran dunia pendidikan yang pastinya akan semakin mencabar pada masa akan datang. Untuk mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam pelanggaran etika dan ketidakpatuhan terhadap pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, guru novice seharusnya memahami ciri-ciri kepimpinan yang bersesuaian daripada yang dinyatakan di atas sebagai panduan untuk menjadi seorang guru yang benar-benar memiliki naluri seorang guru. Dengan ciri kepimpinan yang betul, guru novice akan dapat mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan rakan sejawat yang tidak beretika dan cuba untuk menghasut guru novice agar tidak terlalu komited dengan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan. Guru novice harus mengambil langkah yang betul untuk mengelakkan masalah perlanggaran etika berlaku kepada dirinya dalam usaha untuk mengangkat martabat profesion perguruan ke tahap yang lebih tinggi daripada yang ada sekarang.

No comments:

Post a Comment