Friday 14 September 2012

Sukan Dan Ekonomi


Sejak kebelakangan ini peranan sukan semakin penting kepada Negara ini kerana sukan memberikan banyak  manfaat kepada kelompok masyarakat yang bernaung di bawahnya. Kini aktiviti sukan telah mengalami zaman peralihan fungsi asalnya iaitu memberi kesihatan kepada tubuh badan, bertukar menjadi kegiatan fizikal yang dipertandingkan untuk mencapai kemenangan. Pada asalnya sukan dikatakan boleh memberi tubuh badan yang sihat, tetapi kini telah menjadi aset sesebuah negara dalam mempelopori kemasyhuran. Namun kini, sukan tidak lagi hanya mendukung fungsi tradisinya iaitu menyihatkan tubuh badan atau mengisi masa lapang malah sudah menjadi suatu wadah untuk mengaut keuntungan lumayan melalui industri yang bersifat komersial di samping mampu ‘menjual’ nama sesebuah negara di pentas dunia. Perkara ini telah dibuktikan apabila penganjuran sukan sukan antarabangsa telah menjadi sumber ekonomi kepada sesebuah negara.

Dari segi ekonomi pula, sukan telah membuka satu lagi hubungan erat antara sukan, media, dan syarikat pengiklanan. Syarikat-syarikat televisyen berlumba-lumba untuk membuat liputan secara langsung sesuatu acara sukan dan tidak ketinggalan juga syarikat pengiklanan yang tidak putus-putus mahu menjadi penaja utama.  Industri sukan ini bukan sahaja berkaitan dengan industri pembuatan produk yang berkaitan sukan semata-mata tetapi turut melibatkan pelbagai komponen lain termasuklah dari segi perkhidmatan, perubatan, sains sukan, pelancongan dan lain-lain yang berteraskan atlet, masyarakat dan aktiviti sukan itu sendiri. Hal ini menunjukkan sukan dapat menjana ekonomi menerusi pengiklanan sesuatu barangan. Bagi negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum seperti Malaysia, sukan dapat digunakan sebagai alat integrasi dalam usaha menyatupadukan segenap lapisan masyarakat. Hal ini tidak menghairankan kerana kegiatan sukan yang melibatkan pelbagai kaum dan etnik telah menyediakan peluang untuk mereka sentiasa bekerjasama, saling memahami, dan menyemai konsep memerlukan antara satu sama lain. Apabila saling bertemu di gelanggang permainan, akan mengurangkan perasaan prasangka yang selama ini mencacatkan perpaduan kaum. 

Pada asasnya, industri sukan adalah gabungan kumpulan perniagaan yang bukan sahaja menghasilkan produk berkaitan sukan bahkan turut melibatkan pelbagai komponen termasuk perkhidmatan, perubatan, sains sukan,pelancongan dan lain-lain yang berteraskan atlet, masyarakat dan aktiviti sukan itu sendiri di mana sasaran yang utama adalah untuk menjana keuntungan (Aminuddin Yusof & Parilah Mohd Shah, 2008). Oleh itu, untuk mencapai matlamat industri sukan, kerjasama daripada pelbagai sektor diperlukan seperti sektor media, secktor perniagaan dan sektor politik.

Oleh itu, adalah diharapkan agar industri sukan di Malaysia dapat merangsang dan menyumbangkan sesuatu kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mampu meningkatkan Gross National Income (GNI) selaras dengan Model Ekonomi Baru (MEB).

Sepertimana yang telah dinyatakan oleh YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek dalam Majlis Perasmian KISMAS 2009, “di Amerika Syarikat (AS) industri sukan merupakan antara salah satu industri yang terbesar dan yang paling pesat membangun. Dalam satu kajian yang telah dijalankan oleh Sports Business Journal melaporkan bahawa nilai industri sukan di Amerika Syarikat pada tahun 2008 sahaja telah bernilai USD 213 billion iaitu lebih dua kali ganda daripada industri kenderaan dan tujuh kali ganda lebih besar daripada industri perfileman”. Justeru itu, Kementerian Belia Dan Sukan melalui Pelan Strategik KBS 2010-2015 telah meletakkan industri sukan sebagai teras strategik kelima kementerian yang mana “pembangunan industri sukan sebagai penjana ekonomi negara”.

Selain itu, jalinan politik antara negara juga dapat diperkukuh dengan pelbagai temasya sukan yang dianjurkan seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan SEA, dan tidak kurang temasya skan di peringkat kebangsaan seperti SUKMA. Bagaimanapun kita tidak dapat lari dari pendapat yang mengatakan bahawa biarlah kalah dalam pertandingan asalkan kita menang dalam pembangunan politik,ekonomi, dan sosial. Tetapi itu cakap-cakap sedap mulut, namun pada realitinya apabila menyertai sesuatu acara sukan pasti mahukan kemenangan. Oleh itu, sukan turut membentuk keyakinan kepada diri sendiri .


Walaupun di Malaysia terdapat pelbagai acara sukan yang telah dianjurkan dalam pelbagai peringkat termasuklah di peringkat antarabangsa seperti yang telah disenaraikan di atas, namun sehingga kini kita tidak mempunyai sebarang data mengenainya secara khusus dan mengakibatkan kesukaran dalam menentukan nilai industri sukan yang sebenar di Malaysia. Penganjuran sukan berprestij seperti ini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyumbang kepada keluaran kasar dalam Negara (KDNK) serta mampu menjana pulangan dan meningkatkan Gross National Income (GNI) per kapita daripada USD7,000 kepada USD15,000 menjelang tahun 2020 (Kementerian Belia Sukan, 2010).

Sebagai contoh penganjuran sukan di luar negara seperti Piala Dunia di Afrika Selatan (2010) dan Brazil (2014); Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China (2010); the 7th Asian Winter Games di Almaty, Kazakhstan; Euro 2012 Football Championships di Poland dan Ukraine; dan 2014 Winter Olympics di Sochi, Russia. Di Malaysia negara kita turut mampu menganjurkan pelbagai temasya sukan di peringkat antarabangsa, seperti Sukan Komanwel XVI 1998; Perlumbaan Formula Satu Petronas Malaysian GP; Perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia; Monsoon Cup; Le Tour de Langkawi dan Formula Future.

Perkara yang diperkatakan ialah penglibatan sukan di peringkat nasional dan antarabangsa. Bagi sukan di peringkat sekolah, sukan berjaya memanfaatkan masa yang terluang daripada mengisi masa dengan aktiviti tidak berfaedah seperti melepak atau bercampur gaul dengan budak-budak nakal. Malah, sukan sebagai alat melepaskan tekanan selepas penat mengulang kaji pelajaran. Tetapi yang kita kesal ialah ramai pelajar yang berbakat dalam sukan tidak memperoleh galakan daripada ibu bapa disebabkan ibu bapa lebih mengutamakan pelajaran. Akhirnya bakat yang besar hilang begitu sahaja. Ada yang ibu bapa memberi dorongan dan sokongan penuh, tetapi anak yang sering dimanjakan tiada kesungguhan untuk meningkatkan prestasi diri. Pendek kata, sikap tidak berani menghadapi cabaran menyebabkan remaja berpotensi tidak mampu berani bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Hasil penulisan Kristinie Inchie Ak Boniface Intang, IPG(sukan) Kampus TAR, Kota Samarahan , Sarawak

1 comment: