Friday 14 September 2012

Kepentingan Sukan Terhadap Ekonomi


Sejak kebelakangan ini peranan sukan semakin penting kepada negara. Sukan memberi manfaat kepada kelompok masyarakat yang bernaung di bawahnya. Kini aktiviti sukan telah mengalami zaman peralihan fungsi asalnya iaitu memberi kesihatan kepada tubuh badan, bertukar menjadi kegiatan fizikal yang dipertandingkan untuk mencapai kemenangan. Memang pada asalnya sukan dikatakan boleh memberi tubuh badan yang sihat, tetapi kini telah menjadi aset sesebuah negara dalam mempelopori kemasyhuran. Hal ini terbukti dengan tanggapan spontan jika seseorang itu apabila diajukan soalan seperti siapakah kuasa bola sepak dunia? Negara manakah mengungguli sukan bola keranjang, enis, skuasy, hoki, dan badminton? Ternyata sukan dapat membantu negara mengharumkan namanya di persada dunia. Malaysia kini lebih dikenali oleh masyarakat dunia kerana pencapaian yang cemerlang dalam sukan badminton, hoki dan skuasy. 

Dari segi ekonomi pula, sukan telah membuka satu lagi hubungan erat antara sukan, media, dan syarikat pengiklanan. Syarikat-syarikat televisyen berlumba-lumba untuk membuat liputan secara langsung sesuatu acara sukan dan tidak ketinggalan juga syarikat pengiklanan yang tidak putus-putus mahu menjadi penaja utama. Hal ini menunjukkan sukan dapat menjana ekonomi menerusi pengiklanan sesuatu barangan. Bagi negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum seperti Malaysia, sukan dapat digunakan sebagai alat integrasi dalam usaha menyatupadukan segenap lapisan masyarakat. Hal ini tidak menghairankan kerana kegiatan sukan yang melibatkan pelbagai kaum dan etnik telah menyediakan peluang untuk mereka sentiasa bekerjasama, saling memahami, dan menyemai konsep memerlukan antara satu sama lain. Apabila saling bertemu di gelanggang permainan, akan mengurangkan perasaan prasangka yang selama ini mencacatkan perpaduan kaum.
 

Selain itu, jalinan politik antara negara juga dapat diperkukuh dengan pelbagai temasya sukan yang dianjurkan seperti Piala Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan SEA, dan tidak kurang temasya skan di peringkat kebangsaan seperti SUKMA. Bagaimanapun kita tidak dapat lari dari pendapat yang mengatakan bahawa biarlah kalah dalam pertandingan asalkan kita menang dalam pembangunan politik,ekonomi, dan sosial. Tetapi itu cakap-cakap sedap mulut, namun pada realitinya apabila menyertai sesuatu acara sukan pasti mahukan kemenangan. Oleh itu, sukan membentuk keyakinan kepada diri sendiri untuk memperoleh kejuaraan.

Perkara yang diperkatakan ialah penglibatan sukan di peringkat nasional dan antarabangsa. Bagi sukan di peringkat sekolah, sukan berjaya memanfaatkan masa yang terluang daripada mengisi masa dengan aktiviti tidak berfaedah seperti melepak atau bercampur gaul dengan budak-budak nakal. Malah, sukan sebagai alat melepaskan tekanan selepas penat mengulang kaji pelajaran. Tetapi yang kita kesal ialah ramai pelajar yang berbakat dalam sukan tidak memperoleh galakan daripada ibu bapa disebabkan ibu bapa lebih mengutamakan pelajaran. Akhirnya bakat yang besar hilang begitu sahaja. Ada yang ibu bapa memberi dorongan dan sokongan penuh, tetapi anak yang sering dimanjakan tiada kesungguhan untuk meningkatkan prestasi diri. Pendek kata, sikap tidak berani menghadapi cabaran menyebabkan remaja berpotensi tidak mampu berani bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Perubahan Fungsi Sukan, oleh Shahril Anuar Abdul Ghalim, Utusan Malaysia, 7 Jun 2006)

No comments:

Post a Comment