Friday 14 September 2012

Stadium Sukan Bukit Jalil


Bukit Jalil jadi 'bandar sukan'
Oleh Jumiati Rosly
jumiati@bharian.com.my
2011/07/31
Pusat perniagaan diwujud sekitar Kompleks Sukan Negara: Shabery 

SEBELUM ini sukan hanya dikaitkan terhadap pencapaian atlit, namun sukan bakal diubah kepada satu industri yang dapat meningkatkan pendapatan negara.
Bayangkan saja bagaimana industri pelancongan di negara kini yang menjadi penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara, begitu jugalah industri sukan yang diharap mampu berkembang.
Sebelum ini, kajian yang dijalankan membuktikan aktiviti berkaitan sukan menyumbang lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2009 dengan jumlah kira-kira RM30.2 bilion. 

Jumlah itu mewakili lima peratus daripada keseluruhan KDNK dan melambangkan betapa industri sukan mempunyai potensi untuk dibangunkan.
 

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mensasarkan supaya pembangunan industri sukan dipacu sepenuhnya oleh sektor swasta, dengan persatuan sukan tidak lagi bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan menjelang 2020.
 

Bukan saja daripada segi peningkatan pendapatan negara, pembangunan industri sukan diharap memberi manfaat kepada masyarakat dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, melahirkan lebih ramai usahawan sukan dan menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lebih terjamin.
 
Industri sukan bukan saja memerlukan atlit namun lebih banyak lagi pengkhususan kerjaya seperti peguam, jurugambar, pengulas, ahli psikologi, ejen atlit, arkitek stadium dan banyak lagi peluang pekerjaan lain.
 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika pelancaran Tahun Industri Sukan 2011/2012 Khamis lalu berkata, paling penting ialah kesedaran mengenai perspektif dalam industri sukan dapat disemai kepada semua pihak.
 

“Dalam masa 10 tahun lagi, kerajaan berharap dapat menghampiri kepada model industri negara maju di dunia dengan menjadikan sukan sebagai perniagaan,” katanya yang turut memberi gambaran kemungkinan KBS tidak lagi wujud seperti negara maju di Jepun dan Amerika Syarikat yang mempunyai industri sukan yang berjaya.
 

Buat permulaan, Shabery berkata Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil akan dibangunkan sebagai bandar sukan dengan menghidupkan kawasan di sekitar stadium sebagai pusat perniagaan berasaskan sukan.
 

Usaha Tahun Industri Sukan bermula apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan 2011 sebagai Tahun Industri Sukan pada Konvensyen Industri Sukan 2009 (KISMAS 09) namun perkara itu baru direalisasikan bersempena kiraan detik setahun Sukan Olimpik London 2012.
 

Pelbagai aktiviti dan program dirancang sepanjang tahun ini seperti konvensyen, persidangan, bengkel dan seminar dengan laman web (www.sid.my) menyebarkan maklumat terkini mengenai berita industri sukan dalam dan luar negara.
 

KBS juga menubuhkan Bahagian Industri Sukan yang berfungsi menyusun strategi merealisasikan sukan sebagai antara penjana pertumbuhan ekonomi negara.


No comments:

Post a Comment