Tuesday 16 October 2012

Tendangan Leret Bola Sepak


“ PASS IT-RIGHT” : STRATEGI BAGI MENINGKATKAN PENGUASAAN KEMAHIRAN TENDANGAN LERET UNTUK MENGHANTAR
KEPADA RAKAN MENGGUNAKAN BAHAGIAN
DALAM KAKI


Penulis Pertama

Penulis Kedua
Michael Beti Tuang

Dr. Chin Ngien Siong
bungairos@gmail.com

ngiensiong@gmail.com

Abstrak

      Kajian tindakan ini adalah untuk meningkatkan kemahiran tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan dengan menggunakan bahagian dalam kaki di dalam permainan bola sepak. Subjek kajian terdiri daripada enam orang murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Saint Ambrose Panchor, Serian. Kaedah latihan “Pass It-Right” yang telah diubahsuai daripada latihan “passing, receiving & combination play” digunakan untuk strategi tindakan bagi kemahiran ini. Di samping itu, strategi tindakan untuk kemahiran itu turut dibantu melalui pengajaran teknik ansur maju yang betul dengan memasukkan elemen inovasi iaitu menggunakan kayu berbentuk “L”. Data kajian untuk kajian tindakan ini dikumpul menggunakan pemerhatian, borang skor mingguan, serta data semasa ujian pra-kemahiran dan ujian pasca-kemahiran. Selepas pelaksanaan strategi tindakan selama empat minggu, didapati bahawa semua subjek kajian dapat menguasai kemahiran tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan dengan menggunakan bahagian dalam kaki dengan baik. Hasil dapatan kajian melalui ujian pra-kemahiran dan ujian pasca-kemahiran juga telah membuktikan bahawa kaedah latihan “pass it-right” ini telah berjaya membantu subjek kajian bagi  menguasai kemahiran tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan  menggunakan bahagian dalam  kaki dengan baik.

PENGENALAN

Siapa saya?
Saya merupakan seorang guru pelatih bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Jasmani Pendidikan Rendah Ambilan Januari 2009 IPG Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, Sarawak. Pada Praktikum Fasa 3 dan Internship, saya telah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Saint Ambrose Panchor, Serian. Saya telah diberi kepercayaan untuk mengajar matapelajaran Pendidikan Jasmani bagi Tahun 4 yang terdiri daripada 10 orang murid lelaki yang kesemuanya berbangsa Bidayuh. Daripada segi pencapaian Kokurikulum dan sukan, kesemua murid Tahun 4 ini merupakan wakil sekolah untuk pasukan bola sepak Piala Yayasan Sarawak (PYS) untuk tahun 2012.

Refleksi Pengajaran Dan Pembelajaran Yang Lalu & Nilai Pendidikan
Dalam sesi pengajaran saya yang pertama pada 8 Februari 2012 bersama murid tahun 4 ini , saya mengajar tentang kemahiran tendangan leret yang digunakan untuk menghantar bola kepada rakan yang berdekatan. Daripada pemerhatian saya, mereka dapat menghantar bola kepada rakan namun teknik yang mereka gunakan masih kurang tepat dan ini menyebabkan hantaran mereka kurang tepat ke kaki rakan yang menunggu untuk menyambut hantaran. Bagi membantu murid-murid ini, saya melakukan demonstrasi bagaimana melakukan tendangan leret yang betul untuk menghantar bola kepada rakan. Saya menggunakan ansur maju daripada statik ke bergerak dan daripada pemerhatian saya, murid-murid ini akan bermasalah apabila melakukan tendangan leret secara bergerak. Oleh itu, saya lebih banyak menekankan ansur maju sepanjang sesi P&P tersebut dan dibantu dengan permainan kecil yang meneguhkan lagi ansur maju yang telah dilakukan. Tujuannya ialah supaya pelajar dapat mempelajari, menguasai dan meningkatkan proses pembelajaran dengan baik (Gagne, Briggs & Wager, 1992). Pada sesi pengajaran saya yang seterusnya, saya mengajar murid-murid tahun 4 ini bagaimana untuk menyerkap bola. Kemahiran ini memerlukan murid untuk menghantar bola leret kepada rakan dalam jarak dekat dan sederhana. Semasa murid menjalankan aktiviti, saya mendapati bahawa tendangan leret yang digunakan untuk menghantar bola kepada rakan masih lagi menggunakan teknik yang salah dan hantaran menjadi kurang tepat. Ini menyukarkan rakan untuk menyerkap bola dengan baik dan rakan juga terpaksa berlari jauh untuk menyerkap bola yang dihantar kepada mereka.

“ Murid-murid masih gagal menguasai kemahiran hantaran leret semenjak daripada minggu lepas kerana penggunaan teknik yang tidak tepat” (Refleksi P&P, 15/2/2012)

Salah satu elemen penting di dalam permainan bola sepak adalah kemahiran hantaran leret kepada rakan dengan tepat. Kegagalan untuk menguasai kemahiran ini dengan baik akan menyukarkan rakan-rakan yang lain untuk menyerkap bola dengan baik dan pasukan akan mudah untuk kehilangan bola kepada pihak lawan. Melihat kepada kepentingan kemahiran hantaran leret kepada rakan dalam permainan bola sepak, saya menjadikan masalah murid saya ini sebagai isu keprihatinan saya untuk dikaji dengan lebih lanjut.


TINJAUAN DAN ANALISIS MASALAH

Pada sesi pengajaran dan pengajaran pada 8 Februari 2012, saya telah menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) bersama murid-murid dan sesi P&P ini adalah berfokuskan kepada kemahiran tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan. Untuk mengajar sesuatu kemahiran, selain daripada memfokuskan kepada latih tubi untuk memperkukuhkan kemahiran, ansur maju turut memainkan peranan yang penting bagi membentuk teknik perlakuan yang betul kepada sesuatu kemahiran. Oleh itu, pada sesi P&P ini, saya telah mengajar ansur maju bagi tendangan leret yang betul kepada murid-murid. Langkah-langkah ansur maju tersebut adalah seperti berikut ;

1.      Kedudukan bersedia. Letakkan kaki sokongan di sisi bola.
2.      Ayunkan kaki menendang ke belakang. Badan dibongkokkan sedikit ke hadapan. Kaki sokongan dibengkokkan sedikit.
3.      Tendang di bahagian tengah bola.
4.      Pastikan bahagian dalam kaki dan bahagian bawah lutut membentuk huruf ‘L’ sehingga 15 darjah.
5.      Ikut lajak.
Selepas menjalankan sesi P&P, saya mendapati ada beberapa orang murid tidak dapat menguasai kemahiran ini dengan betul sepanjang sesi P&P tersebut. Ini adalah kerana penggunaan teknik yang salah semasa melakukan tendangan leret kepada rakan. Bola tidak sampai tepat kepada rakan dan ada juga bola yang dihantar bukan dalam keadaan leret kerana kesilapan kontak pada bola. 

Gambarajah 1 : Kesilapan teknik tendangan leret yang dilakukan oleh salah seorang murid
“ hantaran menjadi kurang tepat kepada rakan kerana teknik yang digunakan kurang tepat dan ini melambatkan pergerakan rakan.” (NL, 8/2/2012)
Nota lapangan di atas turut jelas menyatakan bahawa penggunaan teknik yang kurang tepat oleh sesetengah murid semasa sesi P&P dan ini jelas menyatakan bahawa penggunaan teknik yang betul adalah kunci kepada penguasaan sesuatu kemahiran. Oleh itu, saya telah merancang untuk menjalankan kemahiran menyerkap bola pada sesi P&P yang seterusnya kerana ianya pada masa yang sama memerlukan kemahiran tendangan leret dan saya akan dapat mengajar kemahiran tendangan leret sekali lagi kepada murid-murid.

“hantaran murid tidak tepat kepada rakan dan rakan terpaksa berlari jauh mengejar bola kerana teknik tendangan leret yang digunakan adalah kurang tepat daripada segi teknikal tendangan” (NL, 15/2/2012)
Nota lapangan di atas merupakan catatan saya semasa sesi P&P yang diadakan pada 15 Februari 2012. Pada sesi P&P kali ini, saya melihat kesilapan yang ketara pada teknik perlakuan murid-murid tahun 4 ini adalah menggunakan bahagian atas kaki untuk melakukan tendangan leret kepada rakan. Terdapat juga murid yang menggunakan bahagian hujung kaki hadapan untuk menghantar bola leret kepada rakan dan ini boleh mendatangkan risiko kecederaan kepada murid kerana penggunaan teknik yang salah seringkali akan mendatangkan risiko kecederaan.


Gambarajah 2 : Kesilapan teknik perlakuan hantaran leret yang dilakukan oleh murid pada 15 Februari 2012

Selepas tamat sesi pengajaran dan pembelajaran, saya kurang berpuas hati dengan penguasaan kemahiran hantaran leret oleh murid-murid. Ini menyebabkan sebaik sahaja kelas tamat, saya bertanya kepada murid secara rawak tentang kemahiran menghantar bola leret kepada rakan yang baru sahaja dilakukan oleh mereka.

Guru : kenapa teknik yang kamu gunakan itu tadi masih juga salah walaupun cikgu sudah ajar teknik yang betul dari minggu lepas?
Clay : saya memang guna cara tu cikgu. Selalu saya bagi bola pada kawan saya       macam tu kalau main petang-petang.
Edwin : saya pun selalu sepak macam ini cikgu. Tidak pernah pun orang tegur.
(Temubual 15/2/2012)


Daripada sesi temubual di atas, dapat dilihat bahawa murid tidak didedahkan dengan teknik tendangan yang betul sebelum ini walaupun murid-murid ini merupakan pemain bola sepak untuk pasukan Piala Yayasan Sarawak sekolah ini. Daripada kesemua 10 orang murid kelas ini, hanya 4 orang sahaja yang dapat menguasai kemahiran tendangan leret dengan baik dan terdapat 6 orang murid masih memerlukan bimbingan untuk melakukan teknik tendangan leret yang betul. Teknik perlakuan tendangan leret yang betul untuk menghantar bola kepada rakan adalah menggunakan bahagian dalam kaki kerana ianya lebih tepat dan lebih mudah. Ianya merupakan teknik hantaran leret yang paling asas dan paling banyak digunakan dalam permainan bola sepak pada masa kini.
“Inside-of-the-foot pass is the most frequently used pass in game  today”(Jim&Kurt,2007)
Teknik perlakuan untuk tendangan leret yang tepat akan memberikan pasukan ruang bagi menguasai perlawanan kerana hantaran yang dilakukan kepada rakan akan tepat kepada rakan dan rakan yang menerima hantaran akan dapat menyerkap hantaran dengan mudah dan tepat. Tendangan leret yang menggunakan bahagian dalam kaki akan menambahkan ketepatan hantaran dan pada masa yang sama, akan menambah peluang pasukan untuk menjaringkan gol.
“The ability to make short passes within a confined space is an important skill for successful players. Accurate passing is important for maintain possession and for setting up goal scoring opportunities” (Rampinini,2008)
Berdasarkan kepada permasalahan di atas, maka saya telah menetapkan bahawa objektif kajian saya adalah untuk meningkatkan kebolehan dan kemahiran pelajar dalam melakukan teknik tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan menggunakan bahagian dalam kaki dengan betul. Di samping itu, objektif sampingan kajian saya ialah untuk meningkatkan amalan pengajaran saya dengan mencari alternatif dan idea baru bagi membantu 6 orang murid saya ini menguasai kemahiran tendangan leret dengan baik.

KUMPULAN SASARAN

Berdasarkan kepada data nota lapangan, refleksi sesi P&P serta temubual, terdapat 6 orang pelajar yang tidak dapat menguasai kemahiran tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan dengan baik. Kesemua 6 orang subjek kajian ini mewakili sekolah untuk Kojohanan Bola Sepak Piala Yayasan Sarawak yang diadakan pada bulan Januari yang lalu dan lebih banyak berada di bangku simpanan sepanjang kejohanan tersebut.

Jadual 1 : Maklumat ringkas subjek kajian
BIL
NAMA
UMUR
KAKI DOMINAN
1
Chris
10 Tahun
Kanan
2
Clay
10 Tahun
Kanan
3
David
10 Tahun
kiri
4
Francis
10 Tahun
Kanan
5
Khim
10 Tahun
Kanan
6
Willven
10 Tahun
Kanan


STRATEGI TINDAKAN SAYA

Langkah pertama saya
Dalam mengajar apa sahaja bentuk kemahiran dalam Pendidikan Jasmani, ansur maju merupakan elemen yang tidak boleh diabaikan kerana ianya merupakan langkah pertama untuk mengajar sesuatu kemahiran secara beransur-ansur bagi membentuk teknik perlakuan yang betul. Menyedari perkara ini, saya telah memasukkan elemen inovasi ke dalam ansur maju saya iaitu dengan menggunakan kayu berbentuk “L” yang diikat di bahagian dalam kaki murid. Elemen inovasi ini saya gunakan kerana ansur maju yang saya ajarkan di dalam kelas kurang berjaya untuk membantu subjek kajian menguasai kemahiran tendangan leret dengan baik.

                                      
Gambarajah 3 : langkah-langkah ansur maju menggunakan inovasi huruf “L”


Strategi utama saya
Strategi utama saya ialah menggunakan satu kaedah latihan yang saya namakan sebagai “Pass It-Right”. Kaedah latihan ini merupakan kaedah yang saya ubahsuai daripada kaedah latihan “passing,receiving & combination play” yang digunapakai oleh Akademi Bola Sepak DFB yang berpengkalan di England. Kaedah latihan “Pass It-Right” ini mengandungi 5 jenis latihan yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan di kalangan subjek kajian. Huraian bagi kaedah latihan ini adalah seperti di bawah ;
Jadual 2 : Bagaimana kaedah latihan “Pass It-Right” dijalankan
LATIHAN
PERINCIAN LATIHAN
GAMBAR
1
Tendangan leret ke dinding dengan secara individu untuk
2
Tendangan leret secara berpasangan dengan rakan selama
3
Tendangan leret ke arah 2 kon dalam jarak yang diubah-ubah (3, 5 & 8 Meter)
4
Tendangan leret ke arah 1 kon dalam satah lurus dalam jarak yang diubah-ubah (3, 5 & 8 Meter)
5
Permainan kecil yang menggunakan mana-mana  latihan 1 hingga latihan 4


Bagaimanakah data-data kajian dikumpulkan?
Kaedah pengumpulan data yang saya telah gunakan ialah Ujian Pra-kemahiran dan ujian Pasca-kemahiran, kaedah pemerhatian tidak berstruktur serta borang skor mingguan.
a)      Ujian pra-kemahiran dan ujian pasca-kemahiran dilakukan untuk melihat peningkatan yang berlaku ke atas subjek kajian dengan merekod ketepatan sepakan leret mereka ke arah 2 kon dalam jarak 5 meter.
b)      Pemerhatian tidak berstruktur dilakukan dengan melihat perkembangan subjek kajian dan merekod menggunakan nota lapangan sebagai rekod pencapaian subjek kajian secara harian. Pemerhatian ini turut dibantu dengan mengambil gambar perlakuan semasa sesi tindakan dijalankan.
c)      Borang skor mingguan adalah untuk melihat perkembangan subjek kajian secara mingguan dengan mengambil skor indikator pada hari terakhir latihan setiap minggu. Indikator yang diberi perhatian adalah mengambil kira latihan “pass it-right” dan ansur maju.

DAPATAN KAJIAN

Apakah perkembangan yang berlaku?
Sepanjang melaksanakan strategi tindakan selama 4 minggu, saya dapat melihat peningkatan yang ketara di kalangan subjek kajian. Ini dapat dilihat dengan penguasaan ansur maju dan peningkatan dalam penguasaan kaedah latihan “Pass It-Right” yang digunapakai dalam strategi tindakan ini. Peningkatan pencapaian subjek kajian dalam ujian pasca berbanding ujian pra ditunjukkan dalam rajah di bawah ;

Gambarajah 4 : Perbandingan antara keputusan ujian pra-kemahiran dan ujian pasca-kemahiran.

Daripada gambarajah 4 di atas, dapat dilihat peningkatan yang ketara pada pencapaian subjek kajian jika dibandingkan keputusan semasa ujian pra dan ujian pasca. Data di atas menunjukkan bahawa pada ujian pasca-kemahiran, rata-rata subjek kajian dapat melakukan sekurang-kurangnya 8 tendangan leret tepat ke sasaran sejauh 5 meter berbanding pada ujian pra-kemahiran yang hanya mencatatkan markah tertinggi iaitu 4 cubaan tepat ke sasaran.
Melalui pemerhatian tidak berstruktur pula, saya telah dapat mengumpul gambar-gambar semasa subjek kajian mengikuti tempoh pelaksanaan strategi tindakan. Pemerhatian saya ini turut dikuatkan oleh nota lapangan yang saya catat sepanjang 4 minggu tempoh pelaksanaan. Sepanjang melakukan pemerhatian selama 4 minggu, saya dapat melihat peningkatan penguasaan teknik kemahiran yang betul untuk melakukan tendangan leret di kalangan subjek kajian seperti  di gambarajah 5 ;

Gambarajah 5 : perbandingan antara sesi P&P dan minggu terakhir pelaksanaan strategi tindakan

Daripada gambarajah 5 di atas, dapat diperhatikan peningkatan yang ketara pada teknik tendangan yang dilakukan oleh subjek kajian semasa sesi P&P yang pertama dan dibandingkan dengan minggu terakhir pelaksanaan strategi tindakan. Dapat diperhatikan bahawa subjek kajian dapat menguasai kemahiran yang betul semasa melakukan tendangan leret iaitu menggunakan bahagian dalam kaki dan penujuan kaki yang tepat untuk menghantar bola tepat ke sasaran. Data ini diperkuatkan lagi dengan nota lapangan di bawah yang dicatat pada minggu terakhir pelaksanaan strategi tindakan.

“kesemua SK dapat menguasai kemahiran tendangan leret menggunakan bahagian dalam kaki dengan baik dan boleh melakukan hantaran dengan tepat kepada rakan semasa sesi latihan” (NL, 19/4/2012)
Peningkatan subjek kajian secara mingguan turut direkod menggunakan borang skor mingguan yang direkodkan pada hari terakhir pelaksanaan strategi tindakan untuk setiap minggu. Borang skor mingguan ini adalah untuk memudahkan saya melihat perkembangan semasa subjek kajian dan jadual yang diterjemahkan daripada 4 borang skor mingguan adalah seperti gambarajah 6 di bawah ;

Gambarajah 6 : Perkembangan subjek kajian mengikut minggu yang dicatatkan menggunakan borang skor

Daripada gambarajah di atas, dapat diperhatikan peningkatan yang dilakukan oleh kesemua subjek kajian daripada minggu ke minggu. Bermula dengan skor yang kurang memuaskan pada minggu pertama, kesemua subjek kajian mendapat skor sekurang-kurangnya 4 pada minggu terakhir pelaksanaan strategi tindakan. Daripada kesemua data pada dapatan kajian di atas, telah terbukti bahawa kaedah latihan “Pass It-Right” telah meningkatkan kemahiran tendangan leret menggunakan bahagian kaki untuk menghantar bola kepada rakan di kalangan subjek kajian dan kaedah ansur maju dengan menerapkan elemen inovasi menggunakan kayu berbentuk “L” turut boleh digunakan secara meluas pada masa akan datang untuk mengajar kemahiran ini di kalangan murid-murid sekolah rendah terutamanya.
REFLEKSI

Perancangan strategi tindakan yang tepat, bersesuaian dan menarik merupakan faktor penentu kepada kejayaan strategi tindakan itu sendiri. Selain itu, penggunaan inovasi untuk menarik minat subjek kajian juga merupakan satu langkah yang baik bagi memberi motivasi kepada subjek kajian bagi mempelajari dan mengaplikasikan teknik yang betul bagi melakukan tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan menggunakan bahagian dalam kaki. Sepanjang menjalankan kajian tindakan ini, saya telah belajar tentang perbezaan individu di kalangan subjek kajian. Setiap individu berbeza daripada segi perkembangannya sebagaimana yang diperkatakan oleh teori perkembangan individu Erikson. Saya juga dapat melihat bahawa perkembangan antara setiap subjek kajian adalah berbeza dan ini jelas nyata berdasarkan jangka masa yang diperlukan oleh setiap subjek kajian bagi menguasai kemahiran yang dikehendaki. Berbekalkan dengan maklumat inilah yang seringkali menjadi panduan dan dorongan bagi saya untuk terus bersabar ketika mengajar subjek kajian teknik perlakuan yang betul bagi strategi pelaksanaan yang dijalankan.
Kajian tindakan ini juga mengajar saya agar tidak mengharapkan sesuatu yang terlalu sukar untuk dicapai daripada subjek kajian. Saya telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi sebelum mula menjalankan strategi pelaksanaan namun setelah menjalankan strategi pelaksanaan untuk minggu yang pertama, saya menyedari bahawa saya telah meletakkan satu penanda aras yang terlalu sukar untuk dicapai oleh subjek kajian. Oleh itu, saya telah menukar strategi saya dan menambah sedikit inovasi ke dalam langkah ansur maju yang digunakan untuk memberitahu teknik perlakuan yang tepat kepada subjek kajian.Saya percaya bahawa setiap subjek kajian mempunyai kelebihan masing-masing dalam menguasai kemahiran yang dikehendaki iaitu kemahiran tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan menggunakan bahagian dalam kaki dan saya dapat melihat ada di kalangan subjek kajian merupakan penunjuk cara yang amat baik kepada subjek kajian yang lain. Oleh itu, saya sedaya-upaya berusaha untuk memanfaatkan setiap kelebihan yang terdapat di dalam diri setiap subjek kajian untuk memastikan mereka mendapat pengetahuan dan menguasai kemahiran yang dikehendaki pada tahap yang maksimum. Kaedah latihan “pass it-right” merupakan kaedah yang saya lihat dapat menarik minat subjek kajian untuk turut serta dalam sesi latihan tersebut kerana mereka gemar untuk bersaing sesama mereka namun seringkali juga saya ingatkan bahawa saya hanya menggalakkan persaingan yang sihat sahaja di dalam setiap sesi strategi pelaksanaan dijalankan. Kaedah latihan ini menggalakkan subjek kajian untuk bekerjasama sesama sendiri dan memanfaatkan kelebihan setiap individu untuk mencapai hasil yang optimum.
Kesimpulannya, sepanjang melaksanakan kajian tindakan ini, saya banyak mempelajari perkara yang saya boleh jadikan bekalan untuk kajian pada masa hadapan. Bermula daripada perkara yang asas kepada perkara yang lebih besar telah saya harungi sepanjang menjalankan kajian tindakan ini dan saya berharap pengalaman ini dapat saya jadikan panduan dan dorongan untuk terus melakukan kajian tindakan pada masa akan datang. Di samping itu, saya juga berharap agar setiap dapatan kajian dan ilmu baru yang  diperolehi sepanjang melaksanakan kajian tindakan ini dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sukan bola sepak negara kita yang semakin merundum prestasinya sejak kebelakangan ini.

CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
Apakah penambahbaikan yang perlu dilakukan?
Pada kajian seterusnya, saya mencadangkan untuk dilakukan penambahbaikan daripada aspek ansur maju agar lebih mudah untuk difahami oleh subjek kajian. Sedikit masalah yang timbul semasa menjalankan ansur maju menggunakan inovasi kayu berbentuk “L” ialah subjek kajian tidak memahami indikator perlakuan kerana tidak ada penanda yang boleh dilihat oleh mereka. Sebagai contoh, apabila saya menyuruh mereka untuk membuka kaki seluas bahu dan kaki menunjuk ke hadapan, ada sesetengah mereka berdiri dengan kaki menunjuk ke tepi. Penambahbaikan yang dimaksudkan adalah dengan menggunakan teknik jam ataupun “clock-face” bagi memudahkan subjek kajian lebih memahami indikator dengan adanya teknik jam, penambahbaikan ini akan menjadikan ansur maju lebih berinovatif kerana ianya turut dibantu oleh kayu yang berbentuk “L”.


Bagaimanakah ianya akan dilakukan?
Ansur maju menggunakan inovasi teknik jam ini dilihat mampu memberikan indikator yang lebih mudah untuk difahami oleh subjek kajian. Sebagai contoh, indikator bersedia dan sebelum menendang bola ialah ;
Langkah 1
i.                    kaki dibuka seluas bahu dan menghadap ke hadapan dengan kaki kanan menghadap pada pukul 1 dan kaki kiri menghadap pukul 11.
Gambarajah 7 : Contoh inovasi ansur maju menggunakan teknik jam – fasa persediaan
Jika ditambah elemen inovasi menggunakan kayu berbentuk “L” pada teknik jam di atas, ianya akan menghasilkan ansur maju berinovasi seperti di gambarajah 8 di bawah ;
Gambarajah 8: Contoh inovasi ansur maju gabungan menggunakan teknik jam dan kayu berbentuk “L”
Oleh itu, adalah diharap bahawa pada masa akan datang, inovasi ansur maju menggunakan teknik jam ini boleh dijalankan bersama dengan ansur maju menggunakan kayu berbentuk “L” agar dapat melihat sejauh mana keberkesanannya terhadap penguasaan kemahiran ansur maju kemahiran tendangan leret untuk menghantar bola kepada rakan menggunakan bahagian dalam kaki. Pelaksanaan ansur maju menggunakan teknik jam ini merupakan satu idea percubaan yang menarik untuk melihat sejauh mana impak yang boleh diberikan kepada penguasaan teknik tendangan leret yang betul.

RUJUKAN


Blom, L. B. (2009). Survival guide for coaching youth soccer.
Chow F.M & Jaizah, M. (2004). Panduan 2004. Perlis: Jabatan Penyelidikan Dan Profesionalisme IPG Kampus Perlis.
Dapena, J. L. (1998). Comparison of kinematics of the full-instep and pass kicks in soccer. Medicine & Science in Sports & Excercise.
Jim S.M & Kurt, A. (2007). Coaching kids to play soccer. New York: Simon & Schuster New York.
Kristensen L.B, A. T. (2007). Comparison of predision in the toe and instep kick in soccer at high kicking velocities. Denmark: department of Sport Science.
Paul, W.I et all. (2006). Teaching games for understanding in primary and secondary physical education. New Zealand: Faculty Of Education, University Of Wollongong.
Rampinini, E. et all. (2008). Medicine And Science In Sports And Excercise. Effect of match-related fatigue on short-passing ability in young soccer players.
Sang, M. S. (2009). Siri Pengajian Profesional : Literatur dan Kaedah Penyelidikan. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.





No comments:

Post a Comment