Tuesday 9 October 2012

Kecederaan Ketika Berlari - Kekejangan Otot


PENGENALAN
            Sukan Olimpik 2012 baru sahaja melabuhkan tirainya pada bulan lepas dan impak yang diberikan oleh sukan paling berprestij di dunia ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan dengan setiap individu cuba untuk mengikut pencapaian idola masing-masing di peringkat yang sedia ada. Acara larian turut memberikan kesan yang besar kepada individu di seluruh dunia dengan mengambil contoh, kejayaan juara acara 100 meter olimpik, Usain Bolt mempertahankan gelaran manusia terpantas di dunia yang dimilikinya. Kejayaan Usain Bolt ini bukan hanya menjadi pendorong kepada remaja dan atlet-atlet pelapis, tetapi turut memberi pengaruh yang kuat kepada kanak-kanak yang turut mengikuti perkembangan sukan olimpik dan ingin menjadikan Usain Bolt sebagai idola mereka.

"Participation in track is a great way to encourage children and adolescents to remain physically active" (Lara McKenzie,2012)

            Berlari merupakan salah satu riadah yang baik untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kualiti kesihatan di kalangan kanak-kanak namun kecederaan yang boleh menimpa semasa berlari merupakan igauan ngeri buat kanak-kanak untuk jangka masa yang panjang. Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, sekitar 195,000 kanak-kanak berusia 8 hingga 10 tahun dimasukkan ke Unit Kecemasan kerana kecederaan ketika berlari daripada tahun 1990 sehingga tahun 2008. Angka ini meningkat sebanyak 36% pada setiap tahun sepanjang 18 tahun kajian ini dijalankan bermula pada tahun 1990 iaitu sebanyak 7,702 orang kanak-kanak dan statistik ini meningkat kepada 10,496 orang kanak-kanak pada tahun 2008. Daripada sekitar 195,000 kecederaan yang direkodkan, 52% adalah kecederaan terseliuh manakala untuk kecederaan yang melibatkan patah tulang, ianya adalah sekitar 17% daripada kecederaan yang dicatatkan sepanjang kajian ini dijalankan selama 18 tahun di Amerika Syarikat.
            Kecederaan ketika berlari di kalangan kanak-kanak mudah berlaku terutamanya apabila aspek-aspek keselamatan tidak diberi keutamaan apabila berlari dan ini boleh mendatangkan potensi kecederaan berulang pada masa hadapan. Kecederaan yang kebiasaannya berlaku kepada kanak-kanak apabila mereka berlari adalah terseliuh, terkehel, terjatuh, kekejangan otot dan kecederaan lain yang kebiasaannya berlaku apabila kanak-kanak berlari. Statistik kecederaan ketika berlari yang semakin membimbangkan di kalangan kanak-kanak pada setiap tahun memerlukan perhatian yang lebih khusus daripada guru-guru dan ibu bapa terhadap kanak-kanak ketika mereka berlari.
            Kecederaan kanak-kanak ketika berlari bukan hanya ketika kanak-kanak menjalankan aktiviti sewaktu matapelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah, tetapi ianya turut berlaku ketika kanak-kanak beriadah bersama keluarga di waktu senggang seperti berjoging di taman rekreasi dan sebagainya. kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada kecederaan ketika berlari apabila dipilih untuk mewakili sekolah dalam kejohanan olahraga dan balapan. Ini adalah kerana, apabila kanak-kanak dipilih sebagai atlet, mereka akan mengikuti latihan yang memerlukan mereka untuk berlatih dengan intensiti yang lebih tinggi dan ini meningkatkan risiko kecederaan kepada mereka (NSKC,2004).
            Oleh itu, pencegahan dan rawatan yang sesuai perlu diberi perhatian yang serius dalam menangani masalah kecederaan daripada berulang dan memberi kesan yang lebih teruk daripada yang disangkakan. Sesetengah kecederaan cenderung untuk berulang sekiranya perhatian yang serius tidak diberikan terhadap kecederaan tersebut dan keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya kecederaan tersebut melarat dan menjadi kecederaan lain yang lebih sukar untuk dirawat. Di sinilah peranan guru dan ibu bapa amat ditagih bagi memastikan kanak-kanak tidak mendapat kecederaan yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Meskipun kes kecederaan ketika berlari oleh kanak-kanak masih berada di paras yang terkawal, langkah pencegahan awal amat baik untuk mengelakkan risiko kecederaan di masa hadapan.

OBJEKTIF
                  Objektif pertama ialah meningkatkan kesedaran tentang pembelajaran kecederaan ketika berlari. Sebelum ini, banyak orang menyangka bahawa kecederaan ketika berlari adalah sesuatu yang tidak penting dan beranggapan bahawa berlari tidak akan mendatangkan kecederaan yang serius. Semua permainan memerlukan atlet untuk berlari dan kerana itulah, kesedaran bahawa risiko kecederaan ketika berlari perlu disemai di kalangan atlet, jurulatih, guru sukan dan ibu bapa. Ini adalah untuk mengelakkan kecederaan yang lebih serius setelah mendapat kecederaan kecil ketika berlari serta membentung kecederaan daripada berulang. Kecederaan ketika berlari boleh dibendung sekiranya langkah pencegahan diberi perhatian yang lebih serius oleh semua individu seperti kanak-kanak, atlet, guru-guru dan ibu bapa. Adalah penting untuk mengatasi masalah kecederaan ketika berlari kerana ianya adalah tunjang kepada semua jenis permainan, aktiviti olahraga dan aktiviti riadah di dunia.
                 Objektif kedua ialah memahami dengan lebih lanjut aspek kecederaan yang biasa dialami oleh kanak-kanak ketika berlari. Kanak-kanak semakin terdedah kepada risiko kecederaan ketika berlari dan ini dibuktikan dengan statistik yang semakin meningkat daripada tahun ke tahun. Oleh itu, untuk membendung masalah kecederaan ketika berlari oleh kanak-kanak ini, langkah pencegahan yang efektif perlu dilaksanakan dan ini sama sekali perlu dibantu oleh pemahaman berkenaan dengan kecederaan yang seringkali berlaku kepada kanak-kanak ketika berlari. Dengan memahami aspek kecederaan yang biasa dialami oleh kanak-kanak, langkah pencegahan yang lebih efisin boleh dirangka dan digunapakai untuk mengelakkan lebih banyak kes yang melibatkan kecederaan ketika berlari terutamanya di kalangan kanak-kanak. Ini adalah kerana, apabila kanak-kanak sudah mengalami kecederaan di usia yang muda, kemungkinan kecederaan tersebut berulang adalah tinggi apabila meningkat usia remaja.
            Objektif ketiga ialah memahami 4 peringkat kecederaan ketika berlari. Dengan memahami 4 peringkat kecederaan ini, kita mampu untuk mengetahui sejauh mana kecederaan yang dialami dan apakah rawatan yang perlu dilakukan untuk menyembuhkan kecederaan yang dialami. 4 peringkat kecederaan ini adalah ;

      i.        Kecederaan yang menimbulkan rasa sakit selepas beberapa jam menamatkan latihan.
    ii.        Kecederaan yang menimbulkan rasa ketidakselesaan.
   iii.        Kecederaan yang menimbulkan rasa sakit dan menjejaskan latihan.
   iv.        Kecederaan yang kronik.

4 peringkat kecederaan ini bukan sahaja membantu menambah kefahaman kita terhadap peringkat-peringkat kecederaan, tetapi turut membantu kita untuk mengetahui sejauh mana kecederaan kanak-kanak yang berada di bawah pengawasan kita semasa aktiviti P&P Pendidikan Jasmani di sekolah nanti.

KEKEJANGAN  OTOT
            Kejang otot merupakan kecederaan yang tergolong di dalam kategori kecederaan otot dan seringkali berlaku ke atas kanak-kanak yang aktif dalam aktiviti berlari. Kecederaan ini merupakan kecederaan ketika berlari yang paling banyak dialami oleh kanak-kanak di Malaysia. Kecederaan ini seringkali dipandang ringan kerana ianya kerap dijumpai dan kerap dialami namun fakta yang tidak diketahui ramai ialah, kecederaan ini jika dipandang mudah dan tidak diambil langkah pencegahan yang sepatutnya, ianya boleh mendorong kepada kecederaan yang lebih serius dan berlanjutan. Kejang otot seringkali berlaku pada hamstring dan betis kanak-kanak. Hal ini mungkin sekali terjadi kerana kanak-kanak tidak melakukan aktiviti regangan dan kenduran yang secukupnya selepas melakukan aktiviti. Selain itu, faktor kecergasan individu juga mempengaruhi kekerapan kecederaan ini berlaku dan berulang. Kekejangan otot seringkali berlaku kepada kanak-kanak sewaktu sukan tahunan sekolah ataupun semasa jogathon tahunan sekolah kerana kanak-kanak seringkali akan berlari menggunakan semua tenaga yang dimiliki dan cenderung untuk memaksa diri berlari semata-mata mahu mengejar hadiah yang disediakan dan kerana mahu bersaing dengan rakan-rakan yang lain. Selain itu, kekejangan otot turut berlaku semasa sesi P&P Pendidikan Jasmani kerana murid terlalu teruja untuk melakukan aktiviti sehingga mengabaikan aktiviti regangan yang sepatutnya menyediakan mereka untuk aktiviti seterusnya yang bakal dijalankan di dalam kelas. Situasi-situasi seperti ini perlu diberi perhatian khusus terutamanya oleh guru yang sentiasa berurusan dengan kanak-kanak dan murid kerana pengurusan kecederaan berlari yang berkesan akan mendatangkan kesan yang positif kepada murid-murid. Ilmu berkenaan langkah pencegahan dan rawatan yang betul amat berguna untuk membantu guru menyampaikan ilmu yang betul berkaitan kecederaan ketika berlari kepada murid-murid dan atlet-atlet di sekolah. Punca dan simptom, penyebab, cara mengelakkan serta rawatan akan disentuh dengan lebih lanjut di bahagian yang seterusnya.

PUNCA, SIMPTOM & PENYEBAB
            Kejang otot ditakrifkan sebagai pengecutan otot luar kawal secara mengejut dan menyakitkan. Meskipun kecederaan ini dianggap hanya sebagai kecederaan otot yang tidak membahayakan daripada segi perubatan, namun ianya merupakan penyumbang kepada lain-lain kecederaan otot seperti Sindrom Geseran Jalur Iliotibial (JIT) dan Sindrom Osgood-Schlatter. Kecenderungan untuk mengalami kekejangan otot juga berbeza kepada setiap kanak-kanak kerana ianya bergantung kepada tahap kecergasan setiap individu.
            Antara sebab berlakunya kekejangan otot ialah apabila tenaga yang digunakan untuk melakukan larian adalah lebih banyak daripada biasa. Kanak-kanak seringkali berlari apabila melakukan sesuatu seperti apabila mahu ke tandas atau ke kantin dan satu perkara yang tidak boleh dinafikan adalah kanak-kanak suka berlari.
Namun, keadaan ini akan berbeza apabila kanak-kanak mula melibatkan diri dengan acara olahraga yang sebenar sebaik sahaja terpilih sebagai atlet. Kanak-kanak yang pada permulaannya melibatkan diri dalam acara olahraga akan cenderung mengalami kekejangan otot kerana faktor fizikal dan biologi badan yang belum bersedia sepenuhnya untuk mengikuti latihan yang disediakan. Sebagai contoh, kanak-kanak yang biasa berlari sebanyak 2 pusingan trek 400 meter biasanya akan mengalami kekejangan otot apabila diminta berlari menghabiskan 5 pusingan trek 400 meter.
            Sebab lain berlakunya kekejangan otot adalah akibat perubahan kepekaan refleks. Dr. Martin Schwellnus, pakar Perubatan Sukan Universiti Cape Town, telah memberikan beberapa bukti kukuh bahawa kekejangan otot terhasil akibat perubahan kepekaan refleks yang berasal daripada reseptor tegangan otot dan tendon. Refleks tegang songsang iaitu refleks yang merencat pengecutan otot yang berlebihan menjadi tidak aktif akibat sesi latihan yang lama dan ini akan mengakibatkan otot menjadi kejang kerana refleks tegang songsang ini merupakan refleks pelindung.

CARA MENGELAKKAN, RAWATAN & PEMULIHAN
            Jika berlakunya kekejangan otot di kejohanan jogathon ataupun sukan tahunan sekolah, guru yang bertugas selalunya akan membaringkan murid dan menolak kakinya ke atas untuk melegakan kekejangan otot yang berlaku dan ini merupakan senario biasa yang kita dapat lihat di sekolah. Terdapat juga situasi dimana pada setiap tahun, murid yang sama mengalami kekejangan otot dan guru perlu merawat murid yang sama pada setiap tahun. Walaupun kekejangan otot ini tidak merbahaya daripada segi perubatan namun ianya tetap perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan berulang dan kecederaan yang lebih kronik menimpa kanak-kanak. Oleh itu, beberapa langkah dicadangkan di sini bagi mengelakkan dan merawat kekejangan otot ini terus berlaku di masa akan datang.
            Pertama, melakukan latihan yang lebih giat dan berterusan. Latihan yang giat dan berterusan amat penting bagi memastikan tubuh murid atau atlet dapat mengadaptasikan latihan yang dijalankan dan otot dapat menampung beban latihan yang dilakukan apabila sudah terbiasa dengan keadaan yang demikian. Latihan yang berterusan akan mengurangkan risiko kekejangan otot secara tiba-tiba dengan turut membantu adaptasi tubuh badan terhadap latihan.
            Kedua, melakukan regangan yang mencukupi sebelum memulakan sesuatu aktiviti. Aktiviti regangan yang mencukupi amat perlu sebelum melakukan apa-apa aktiviti kerana ianya memberi persediaan kepada tubuh badan untuk melakukan aktiviti. Perkara yang kebiasaannya berlaku terhadap kanak-kanak ialah mereka seringkali mengabaikan aktiviti regangan kerana terlalu teruja untuk melakukan aktiviti. Oleh itu, guru perlu menerangkan kebaikan aktiviti regangan sebelum melakukan aktiviti kepada murid-murid. Antara kebaikan aktiviti regangan ialah ;

      i.              Mengurangkan risiko kecederaan.
    ii.             Mengurangkan rasa lenguh otot selepas aktiviti.
   iii.            Meningkatkan kesediaan tubuh badan untuk melakukan aktiviti.

Namun, harus diingat bahawa teknik regangan yang salah juga akan membawa kepada risiko murid mendapat kecederaan selepas melakukan aktiviti regangan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan bahawa mereka telah menguasai teknik regangan yang betul sebelum mengarahkan murid untuk mengikut teknik rengangan yang ditunjukkan.
               Ketiga, mengaplikasikan teori Schwellnus iaitu kekejangan otot dapat dielakkan sekiranya aktiviti refleks regang songsang dikekalkan semasa melakukan latihan yang panjang terutamanya. Ini dapat dilakukan dengan meregangkan tendon otot yang terlibat secara kerap kerana latihan regangan ini mengaktifkan semula refleks regang songsang. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa memastikan bahawa sepanjang latihan berlansung, murid-murid mempunyai masa untuk melakukan aktiviti regangan kendiri bagi mengaktifkan semula refleks regang sonsang untuk mengelakkan sebarang risiko kekejangan otot berlaku.
                Keempat, melakukan aktiviti kenduran yang bersesuaian. Aktiviti kenduran yang bersesuaian yang dimaksudkan di sini sudah memadai dengan mengurangkan kadar intensiti latihan berlari pada 15 minit yang terakhir sebelum tamat sesi latihan ataupun matapelajaran. Aktiviti kenduran amat penting untuk memastikan otot-otot yang bekerja dapat mengecut kembali ke keadaan asal dengan kadar yang betuldan Ini secara tidak langsung akan mengelakkan risiko kecederaan sakit otot lewat selepas melakukan latihan. 
              Kelima, sekiranya berlaku kekejangan otot, guru hendaklah memastikan murid berhenti daripada melakukan aktiviti dan meminimumkan pergerakan. Ini penting untuk mengelakkan murid menanggung kesakitan yang melampau kerana kekejangan otot. Selepas itu, guru boleh menyapukan ubat untuk mengurangkan kesakitan seperti acetaminophen dan ibuprofen ke bahagian yang berlaku kekejangan otot. Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan ketegangan otot yang berlaku dan mengembalikan keadaan otot seperti sediakala. Sedikit urutan ringan akan turut membantu otot yang kejang untuk pulih seperti sediakala dan pada masa yang sama turut mengurangkan kesakitan yang ditanggung oleh murid yang mengalami kekejangan otot.

RUJUKAN
John Reid, Nicolas Nelson, Kristin Roberts, Lara McKenzie. Track-Related Injuries in Children and Adolescents Treated in US Emergency Departments From 1991 Through 2008. The Physician and Sportsmedicine, 2012; 40 (2): 56

Journal Physician and Sportsmedicine, Research Institute at Nationwide Children's Hospital, United States Of America




No comments:

Post a Comment